Siti Rohana Idris

Kota Bharu: "Keadaan hari ini seperti sehari sebelum raya kerana pengunjung sudah penuh beratur di perkarangan pasar raya walau belum dibuka," kata kakitangan sebuah pasar raya di Kubang Kerian, di sini.

Normini Mohamad, 30-an berkata, pasar raya itu dibuka jam 8 pagi, namun kira-kira 30 minit sebelum beroperasi, kawasan parkir sudah penuh dan orang ramai sudah beratur sehingga 100 meter dari pintu utama.

"Biasanya keadaan seperti ini boleh dilihat sehari sebelum hari raya atau setiap Jumaat sahaja. Bagaimapun, menjelang tengah hari situasi kembali tenang namun pengunjung tetap bertali arus (ramai).

"Kawasan jualan makanan paling ramai pengunjung kerana mereka membeli bekalan yang mungkin digunakan untuk sepanjang sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasa 1 Jun ini," katanya ketika ditemui di perkarangan pasar raya itu, hari ini.

Tinjauan yang dilakukan di premis itu mendapati setiap pengunjung menolak troli yang dipenuhi barangan keperluan harian terutama makanan sebagai bekalan untuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh.

ORANG ramai beratur untuk memasuki pasar raya untuk membeli barangan keperluan.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ORANG ramai beratur untuk memasuki pasar raya untuk membeli barangan keperluan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bagi Adnan Jaafar, 74, walaupun barangan yang dibelinya hari ini dalam kuantiti banyak dan sarat dalam troli, dia tidak menganggapnya sebagai pembelian panik.

Pesara kakitangan awam itu berkata, pembelian dalam jumlah yang banyak itu adalah untuk mengelakkannya dari kerap berulang alik ke pasar raya sekali gus menghalang dari risiko terkena jangkitan wabak Covid-19.

"Memandangkan saya tinggal berdua dengan isteri, tiada sesiapa yang boleh keluar membeli keperluan harian kecuali saya sahaja. Untuk hari ini saya membeli sedikit kelengkapan rumah manakala selebihnya adalah makanan kering seperti biskut dan roti. Insya-Allah, cukup sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh ini nanti," katanya.

Pemandangan 'sibuk' yang sama juga dilihat di beberapa premis lain sekitar Kota Bharu yang mendapati orang ramai sanggup beratur panjang untuk masuk ke premis membeli belah bagi melakukan pembelian sempena sekatan pergerakan penuh yang bermula 1 hingga 14 Jun nanti.

Sementara itu, penjual beras di Pasar Wakaf Bharu, Tumpat yang ingin dikenali sebagai Nazri, 35, berkata, stok beras di premisnya sudah habis diborong orang ramai.

"Sebelum membuka kedai jam 8 pagi tadi, sudah ramai pelanggan menunggu di luar. Setakat jam 1 tengah hari ini, sudah 120 kampit beras terjual berbanding pada hari biasa hanya sekitar 40 kampit sahaja. Bukan saya sahaja, tapi penjual lain juga kehabisan beras," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 2:37 PM