Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: "Saya tidak mahu menuding jari, tapi pencemaran ini sudah berlarutan sejak 12 tahun lalu," kata penduduk Kampung Selabak, di sini, Ahmad Fuad Shahrudin.

Ahmad Fuad, 51, mendakwa kilang memproses sisa tandan kelapa sawit berhampiran dipercayai membuang air yang tidak dirawat sepenuhnya ke longkang di kawasan kampung berkenaan.

Menurutnya, air berwarna kehitaman itu dipercayai mengalir keluar daripada kilang berkenaan ke longkang yang berpotensi mencemarkan ekosistem sungai berhampiran.

"Keadaan semakin serius sejak tahun lalu dan kami sudah beberapa kali membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkaitan, malah turut membuat laporan polis, semalam.

"Ada juga nelayan mendakwa hasil tangkapan termasuk udang galah berkurangan dan ada ikan mati sebelum ini. Justeru, kami bimbang masalah ini menjadi punca kepada kekurangan hasil sungai.

"Kandungan organik (dalam sisa buangan) akan menyebabkan oksigen dalam air berkurangan dan boleh menyebabkan ikan mati," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pemeliharaan Ekosistem Kebangsaan, Shamsudin Harun berkata, pihak berkuasa berkaitan perlu mengambil tindakan terhadap perkara itu sebelum keadaan bertambah buruk.

"Kami prihatin dengan isu pencemaran yang berpotensi menjejaskan ekosistem sungai berhampiran kerana aliran air akan pergi ke sungai berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan kilang ketika dihubungi mendakwa mereka menghentikan sementara operasi kilang selama 10 bulan untuk penambahbaikan bermula Februari lalu sebelum dibuka semula pada 18 Disember lalu.

Katanya, sebelum ini bahan buangan dirawat terlebih dahulu sebelum dibuang, dan pihaknya akan menyiasat secara terperinci berhubung aduan berkenaan.

AHMAD Fuad menunjukkan sisa bahan buangan yang dipercayai dibuang kilang. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
AHMAD Fuad menunjukkan sisa bahan buangan yang dipercayai dibuang kilang. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Pengarah JAS Perak, Rozli Zul berkata, aduan berkenaan dalam proses diambil tindakan dan kilang berkenaan juga dalam penilaian sistem rawatan yang perlu dinaik taraf.

Katanya, ketika ini kilang berkenaan tidak beroperasi untuk pengeluaran dan sebelum ini bahan buangannya memang dirawat, tetapi sistemnya tidak mencapai piawaian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 6:52 PM