Muhammad Sharip  (empat dari  kanan) bersama  Intan Shafinaz (lima dari kanan)  pada Majlis Pelancaran Pusat Penjagaan dan Pendidikan Islam Dewasa, Laman Khaira,  semalam.
Muhammad Sharip (empat dari kanan) bersama Intan Shafinaz (lima dari kanan) pada Majlis Pelancaran Pusat Penjagaan dan Pendidikan Islam Dewasa, Laman Khaira, semalam.
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Selain menyediakan aktiviti bercucuk tanam dan kelas memasak sebagai terapi, Pusat Penjagaan dan Pendidikan Islam Dewasa, Laman Khaira yang dilancarkan semalam turut menawarkan kelas pengajian al-Quran lengkap merangkumi subjek tajwid, tasmik, talaqi dan taranum kepada penghuni warga emasnya.

Pengarah Urusan Laman Khaira Intan Safinaz Redzuan Ranjit berkata, pusat berkenaan menawarkan kemudahan khas kepada kepada warga emas yang mahu menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik.

Beliau berkata, pusat penjagaan yang kini beroperasi di Presint 16 itu, menyediakan ruang khas kepada warga emas untuk menikmati kehidupan berkualiti bersama rakan seusia mereka.

“Laman Khaira dibangunkan berdasarkan kajian daripada beberapa pakar di Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Universiti Putra Malaysia (UPM) khusus memberi keselesaan kepada penghuninya.

“Setiap susun atur dan modul di pusat jagaan ini merujuk kepada hasil kajian yang dilakukan pakar berkenaan sekali gus membezakan Laman Khaira dengan pusat jagaan warga emas yang lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pusat Penjagaan dan Pendidikan Islam Dewasa, Laman Khaira di Putrajaya, semalam.

Majlis pelancaran pusat berkenaan disempurnakan Undang Luak Rembau Datuk Muhammad Sharip Othman.

Intan Shafinaz berkata, pihaknya menyediakan pelbagai kelas agama dengan kaedah pembelajaran yang direka khas untuk mengekalkan kefahaman penghuni berkenaan.

“Kelas pengajian al-Quran akan dipimpin Ustazah Faizah Mohd Hussain iaitu Johan Tilawah Antarabangsa 2005.

“Malah, setiap kelas agama yang dipimpin beliau turut diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),” katanya.

Katanya, pihaknya juga menyediakan pelbagai aktiviti sampingan seperti bercucuk tanam serta kelas memasak sebagai terapi kepada penghuni di sini.

“Selain itu, penghuni juga akan dihidangkan dengan pelbagai jenis menu makan yang berkhasiat enam kali sehari selain pemantauan 24 jam daripada kakitangan di sini.

“Bagaimanapun, tempat adalah terhad kepada 24 penghuni saja dan hanya dibuka peluang kepada golongan wanita untuk menjaga keselesaan kepada penghuni.

“Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi di talian 011-26245662 atau melayari laman web di www.lamankhaira.com.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 9:59 AM