Mohamad Fahd Rahmat


PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) merayu supaya orang ramai menunaikan kewajipan berzakat sebelum atau selewat-lewatnya pada 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Shukri Yusoff berkata, sehingga kini, pihaknya menerima sejumlah RM560 juta berbanding sasaran sebanyak RM710 juta menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, pihaknya optimis jumlah itu dapat dicapai dengan melipatgandakan operasi, kaedah dan hebahan pungutan zakat kepada orang ramai.

“Pelbagai usaha dijalankan pihak PPZ-MAIWP dalam menyebarkan dakwah zakat serta kebaikannya termasuklah program pada hari ini.

“Oleh itu KHAIRA PPZ mengorak langkah bersama-sama turun padang menyantuni golongan kurang berkemampuan sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama rakan strategik korporat yang lain.

AHMAD Shukri Yusoff bergambar bersama 200 penerima sumbangan pada program berkenaan. FOTO BERNAMA
AHMAD Shukri Yusoff bergambar bersama 200 penerima sumbangan pada program berkenaan. FOTO BERNAMA

“Ia bertujuan supaya ekosistem Islam dapat dipertingkatkan sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program KHAIRA PPZ Sebarkan Kebaikan di Dewan Masyarakat Taman Medan Idaman, Gombak, semalam.

Beliau berkata, untuk itu, pihaknya melancarkan kempen Year End Zakat (YEZ) termasuk pembukaan waktu operasi kaunter pembayaran selama tujuh hari seminggu dan akan dibuka sehingga 9 malam menjelang minggu terakhir bulan ini.

“Kami turut memperkenalkan program Super Sunday yang menyediakan sarapan percuma kepada pembayar zakat pada hari Ahad dan 20 individu yang terawal juga layak menerima baucar KFC bernilai RM30 setiap seorang.

“Selain kaunter bergerak kami juga perkenalkan program Zakat Ride.2U yang membolehkan lima ‘rider’ kami datang terus ke rumah atau premis pembayar zakat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh menunaikan zakat menerusi laman web zakat.com.my atau hubungi talian 1300885757.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 2:53 PM