AMMAR Fathullah menjaga warga emas  dengan menyediakan keperluan asas mereka. FOTO Ruhanis Sukri
AMMAR Fathullah menjaga warga emas dengan menyediakan keperluan asas mereka. FOTO Ruhanis Sukri
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Putrajaya: Walaupun baru berusia 18 tahun namun Ammar Fathullah Nur Mohd Daim sanggup 'bergelumang' dengan bau hancing dan busuk najis setiap kali menukar lampin pakai buang warga emas.

Sebahagian daripada 17 warga emas lelaki yang diuruskannya pula berdepan masalah dementia, alzheimer (nyanyuk) dan juga psikiatri.

Ammar Fathullah berkata, setiap hari, dia perlu menukar tiga hingga empat kali lampin pakai buang untuk seorang lelaki warga emas demi memastikan kebersihan dan mengelakkan mereka daripada melecet.

"Tidak dinafikan, memang mencabar menguruskan warga emas, lebih-lebih lagi yang berdepan masalah demensia, alzheimer dan psikiatri.

"Adakalanya, mereka enggan menuruti arahan dan suka mengikut 'kepala' sendiri.

"Apa yang kerap berlaku ialah mereka enggan makan sedangkan mereka perlu menjamah makanan terlebih dulu sebelum diberikan ubat. Jika tidak, penghuni yang mempunyai masalah psikiatri boleh menjadi agresif," katanya.

Ammar Fathullah bertugas sebagai pembantu jururawat di Pusat Penjagaan dan Pendidikan Islam Dewasa, Laman Khaira di sini, sejak dua bulan lalu.

Dia sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

AMMAR Fathullah membantu seorang warga emas berjalan menggunakan tongkat. FOTO Ruhanis Sukri
AMMAR Fathullah membantu seorang warga emas berjalan menggunakan tongkat. FOTO Ruhanis Sukri

Menurut Ammar Fathullah, walaupun adakalanya terpaksa berhadapan dengan situasi yang menguji kesabaran, namun dia tetap mengurus dan melayani warga emas dengan penuh kasih sayang umpama datuk dan nenek kandung.

"Layanan penuh kasih sayang ini mampu 'mencairkan' hati mereka untuk mengikut arahan diberikan.

"Walaupun masih baru namun ia banyak memberikan perubahan positif dalam diri saya. Ketika ini, saya jadi lebih penyabar, bertolak ansur dan memahami.

"Pengalaman ini menjadikan saya lebih sayangkan ibu bapa," katanya.

Menurut Ammar Fathullah, dia agak kekok pada hari pertama bertugas sebagai pembantu jururawat di pusat berkenaan.

"Namun, bantuan rakan setugas lain yang lebih berpengalaman banyak membantu saya menjadi lebih cekap.

"Saya pilih bidang ini kerana gemar pekerjaan yang membabitkan interaksi dengan individu lain," katanya.


NUR Aqilah menjaga warga emas di Laman Khaira, Putrajaya.
NUR Aqilah menjaga warga emas di Laman Khaira, Putrajaya.

Guna pengalaman jaga datuk, nenek

Putrajaya: "Pengalaman menjaga dan menguruskan datuk serta nenek selama dua tahun saya gunakan untuk mengurus warga emas," kata Nur Aqilah Ahmad Hasri.

Nur Aqilah, 27, bertugas sebagai pembantu jururawat di Pusat Penjagaan dan Pendidikan Islam Dewasa, Laman Khaira di sini, sejak lima bulan lalu.

Menurut Nur Aqilah, dia menganggap 27 penghuni pusat berkenaan yang berusia 60 hingga 80 tahun seperti datuk dan neneknya.

"Mula-mula bekerja di sini, pernah timbul rasa marah apabila ada penghuni 'buat perangai' seperti enggan mandi dan menyepahkan makanan.

"Namun, saya pupuk perasaan supaya lebih memahami mereka kerana ada di antaranya menghadapi masalah dementia dan alzheimer (nyanyuk). Oleh itu, perangai mereka ada yang seperti kebudak-budakan," katanya.

Nur Aqilah berkata, dia gemar melakukan aktiviti dengan penghuni seperti rawatan muka dan membuat kraftangan.

"Melalui aktiviti ini, ia dapat menjalin hubungan mesra dengan penghuni.

"Cara ini juga dapat membantu mereka membentuk sikap yang lebih baik dan mendengar kata kerana warga emas di sini sukakan perhatian," katanya yang juga pemegang Diploma Pengurusan Zakat dan Wakaf daripada Institut Profesional Baitulmal.

Kata Nur Aqilah, antara pengalaman menyeronokkan ialah apabila dapat menjaga warga emas yang mengalami demam sehingga mereka pulih dan sihat.

"Apabila mereka sakit, petugas di sini akan memberikan lebih perhatian supaya segera sembuh.

"Ibu bapa sangat menyokong keputusan saya bekerja dalam bidang ini kerana ia adalah tugas yang mulia. Saya berdoa supaya dapat mengumpul saham akhirat dengan bekerja di pusat ini," katanya.

Katanya, seandainya mendapat peluang pekerjaan lain, dia akan menjadi sukarelawan di mana-mana pusat jagaan orang tua untuk menguruskan mereka.

"Jiwa saya sudah sebati dengan pekerjaan ini dan menguruskan warga emas ini dapat mengubat kerinduan kepada datuk yang meninggal dunia pada 2019 akibat penyakit kulit," katanya.


Intan Safinaz Redzuan Ranjit
Intan Safinaz Redzuan Ranjit

Sukar cari petugas muda, ramai berhenti lepas beberapa bulan

Putrajaya: Melayan warga emas dengan baik, penuh hormat dan kasih sayang.

Itu yang ditekankan oleh Pengarah Urusan Pusat Penjagaan dan Pendidikan Islam Dewasa, Laman Khaira, Intan Safinaz Redzuan Ranjit kepada 10 petugas di pusat berkenaan.

Menurutnya, ini kerana, 27 penghuni di pusat itu yang berusia 60 hingga 80 tahun terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan sebahagiannya mempunyai masalah psikiatri, demensia dan alzheimer (nyanyuk).

"Ia sedikit mencabar dalam menguruskan golongan ini. Mereka juga memiliki tingkah laku luar jangkaan dan kita perlu memiliki tahap kesabaran tinggi. Namun, semua petugas mampu melakukan tugas dengan baik walaupun ada dalam kalangan mereka masih muda dan hanya berusia 18 tahun," katanya.

Katanya, dia suka petugas muda berusia 20-an hingga 40-an kerana mempunyai kudrat yang kuat untuk menguruskan warga emas.

"Agak sukar untuk mendapat petugas muda yang boleh bekerja dalam tempoh lama kerana ramai yang berhenti selepas beberapa bulan bekerja.

"Saya berharap golongan belia ambil peluang untuk menimba pengalaman dalam pekerjaan yang jarang menjadi pilihan anak muda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 12:00 PM