jadual harian penghuni diisi dengan pelbagai aktiviti sihat.
jadual harian penghuni diisi dengan pelbagai aktiviti sihat.
Zatul Iffah Zolkiply


Kebiasaannya Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Bukit Payong di sini, tidak putus menerima kunjungan pelbagai pihak namun pandemik Covid-19 menyebabkan ia lengang.

Tiada sebarang kunjungan dibenarkan bagi mengelak jangkitan wabak memandangkan penghuni yang ditempatkan di rumah kebajikan terbabit adalah golongan berisiko.

Ketika ini, ada 23 warga emas berusia 60 hingga 97 tahun dengan majoriti tiada ahli keluarga.

Wakil Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Mohd Sukri Mohammad berkata, jadual harian penghuni kebiasaannya diisi dengan pelbagai aktiviti seperti fisioterapi, kelas agama dan kunjungan pihak luar selain pemeriksaan kesihatan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

"Sejak PKP 18 Mac lalu, semua aktiviti dihentikan bagi mengelak jangkitan dan mereka kesunyian.

"Ramadan dan Syawal adalah bulan dinantikan penghuni kerana mereka selalu menerima kunjungan atau dibawa berbuka puasa di luar. Kehadiran mereka dapat menceriakan penghuni.

ANTARA riadah penghuni Rumah Sejahtera Taman Bahagia sebelum pelaksanaan PKP.
ANTARA riadah penghuni Rumah Sejahtera Taman Bahagia sebelum pelaksanaan PKP.

"Walaupun tiada jemputan dan tidak semeriah sebelum ini, alhamdulillah, kami masih menerima sumbangan berbuka puasa atau bahan mentah daripada pelbagai pihak.

"Sebelum ini, penghuni sihat dibenarkan membeli makanan di gerai berhampiran, tetapi sejak PKP, mereka tidak dibenarkan keluar demi keselamatan," katanya.

Mohd Sukri berkata, kebanyakan penghuni tiada keluarga dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kemasukan mereka berdasarkan beberapa kriteria.

"Kami terima bantuan JKM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), kerajaan negeri, sumbangan orang ramai dan korporat dengan RM12,000 diperlukan setiap bulan untuk makanan, barangan keperluan, elektrik, air serta gaji pekerja," katanya sambil memaklumkan pusat penjagaan itu boleh menempatkan 60 penghuni pada satu-satu masa.

 PENGHUNI mengisi masa lapang  di Rumah Sejahtera Taman Bahagia.
PENGHUNI mengisi masa lapang di Rumah Sejahtera Taman Bahagia.

Mengulas cabaran sepanjang PKP, Mohd Sukri berkata, dia bersama enam rakan sekerja perlu menerangkan mereka mengenai bahaya wabak Covid-19.

"Ada antara mereka tahu wabak Covid-19, tetapi sukar faham terutama mengenai penjarakan sosial dan kebersihan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sukri berkata, dia mewakili pusat penjagaan warga emas berkenaan berterima kasih dan bersyukur kerana terpilih sebagai penerima Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020.

"Sumbangan ini dapat digunakan untuk menampung keperluan harian penghuni.

"Terima kasih Harian Metro, Plus Malaysia Berhad (Plus) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2) yang memilih kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 6:01 AM