Oleh Siti Zarinah Sahib


RAMAH menyantuni setiap penghuni di Laman Khaira, kelihatan Intan Safinaz Redzuan Ranjit begitu ceria bersama warga emas di situ seperti melayani ibu bapa sendiri. Malah wanita manis ini yang juga Pengarah Urusan Pusat Penjagaan dan Pendidikan Islam Laman Khaira di Putrajaya akan meluangkan masa setiap hari berbicara dengan mereka yang menjadi sebahagian daripada keluarganya.

Menurut Intan Safinaz atau mesra disapa Intan, sejak kecil dia dibesarkan datuk dan nenek dengan penuh kasih sayang. Malangnya dia tidak dapat membalas pengorbanan mereka disebabkan datuk dan nenek sudah meninggal dunia.

Apabila mendirikan rumah tangga, Intan pernah melihat ada ahli keluarga yang tidak dapat menjaga ibu bapa disebabkan tekanan kerja.

"Ia membuatkan saya terfikir jika tidak memulakannya bagaimana nasib orang tua dan warga emas pada masa akan datang? Ditambah pula kekangan masa anak dan kekurangan rumah penjagaan orang tua Muslim di Malaysia menyebabkan rumah untuk orang tua menjadi keperluan," katanya.

Pada masa sama dia pernah melihat rumah penjagaan orang tua di luar negara menyediakan perkhidmatan premium untuk warga emas dari segi tempat tinggal, makan minum, persekitaran, aktiviti sehinggalah rawatan.

"Jika masyarakat bukan Islam sangat komited menyediakan konsep sebegini, kita orang Islam seharusnya lebih lagi. Kita memerlukan rumah khas yang menyediakan rawatan dan penjagaan rapi untuk warga emas secara eksklusif," katanya.

INTAN mahu mereka rasaikehidupan lebih berkualiti pada penghujungusia di pusat jagaan. FOTO: Luqman Hakim zubir
INTAN mahu mereka rasaikehidupan lebih berkualiti pada penghujungusia di pusat jagaan. FOTO: Luqman Hakim zubir

Lantas dia tekad meninggalkan kerjaya profesional dalam bidang perbankan semata-mata ingin mengabdikan diri kepada orang tua. Namun selepas hampir dua tahun, Intan puas kerana dia membuat keputusan yang tepat meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Memilih rumah banglo dua tingkat sebagai lokasi, Laman Khaira kini menempatkan tujuh warga emas lelaki dan wanita yang mempunyai latar belakang berbeza. Ada yang mempunyai masalah glukoma, Parkinson dan nyanyuk dijaga rapi oleh tujuh jururawat terlatih.

"Di sini boleh menempatkan sehingga 22 orang tua pada satu-satu masa. Tahap kesihatan mereka akan dinilai bagi mengelak warga emas berpenyakit kronik diambil bersama. Biarlah golongan berpenyakit kronik mendapat rawatan sepenuhnya di hospital," katanya.

Intan menjelaskan, dia mempunyai alasan tersendiri memilih bidang penjagaan orang tua sebagai kerjaya. Baginya setiap manusia mempunyai matlamat hidup berbeza. Ada berjuang bagi memberikan pendidikan terbaik kepada anak atau memberi khidmat kepada semua lapisan masyarakat dengan cara tersendiri.

"Sebagai pengasas rumah penjagaan orang tua, perjuangan saya untuk memberikan khidmat terbaik supaya mereka dapat merasai kehidupan yang lebih berkualiti.

"Pada usia ini, mereka tidak mengimpikan wang yang banyak sebaliknya dapat mendekatkan diri dengan ibadat dan membaca al-Quran hingga ke hujung usia. Jadi saya cuba memenuhi keinginan itu dengan menyediakan kelas agama dan pengajian al-Quran bagi memudahkan mereka menimba ilmu," katanya.

Katanya, sikap ingin melihat orang lain gembira diterapkan di Laman Khaira. Senyuman keceriaan yang terpamer pada wajah kedut mereka memberikan kepuasan yang sukar diungkapkan kata-kata.

CABARAN DIDIK MASYARAKAT DAN AHLI KELUARGA

Menurut Intan, sepanjang dua tahun dalam bidang ini cabaran paling utama adalah menguruskan mentaliti dan persepsi anak.

Tidak dinafikan semua anak ingin memberikan yang terbaik kepada ibu bapa. Namun kekangan masa menyebabkan mereka tidak berupaya menguruskannya sendiri di rumah lebih-lebih lagi jika ibu bapa nyanyuk atau hilang upaya bergerak.

Bahkan stigma masyarakat yang menggelar seseorang itu anak derhaka sekiranya menghantar ibu bapa ke rumah orang tua masih berlegar di minda orang kita. Hakikatnya orang tua memerlukan pengurusan yang eksklusif terutama jika ada masalah kesihatan sedangkan ia tidak dapat dilakukan pasangan dan anak.

"Inilah yang ingin saya sebarkan kepada masyarakat supaya menyediakan keperluan selesa untuk ibu bapa dengan menghantar ke rumah penjagaan orang tua. Sekurang-kurangnya makan minum terjaga dan keperluan kesihatan diberi perhatian malah mereka dapat mengikuti kelas agama yang dijalankan setiap hari.

"Kami memang menggalakkan anak datang menjenguk ibu bapa setiap hari atau sekurang-kurangnya seminggu sekali supaya hubungan tidak terputus," katanya.

Selain memperbetulkan persepsi masyarakat, Intan turut berdepan anak yang mengabaikan tanggungjawab mereka. Memang benar mereka membayar perkhidmatan ini tetapi janganlah dibiarkan ibu bapa di situ terutama yang menghidap penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.

"Bawalah ibu bapa ke hospital untuk rawatan susulan dan ubat-ubatan. Elak membeli ubat di farmasi kerana mereka perlukan pemeriksaan berkala," katanya.

Pada masa akan datang Intan berharap dapat menambah cawangan Laman Khaira bagi memberi peluang lebih ramai warga emas menikmati kehidupan yang lebih selesa pada akhir usia mereka.

SELESA, RAMAI KAWAN

Berbual dengan seorang penghuni Laman Khaira, Wahyanto Yosomartono, 83, yang disahkan buta akibat glaukoma sejak 18 tahun lalu mengundang rasa hiba di hati penulis. Sebelum dihantar anaknya ke situ dia menetap bersama isterinya di Damansara.

Namun dia langsung tidak menyedari isterinya sudah lima hari meninggal dunia di rumah dan hal ini hanya disedari apabila jiran mengadu bau busuk sehingga terpaksa memanggil polis untuk mendapatkan pengesahan.

"Lima hari sebelum mayat isteri dijumpai, saya terdengar bunyi benda jatuh, tetapi saya ingatkan isteri berada dalam keadaan biasa dan mungkin juga ke hospital. Saya panggil juga namanya tetapi tidak menyahut sehinggalah saya terhidu bau busuk di rumah. Saya tidak sangka ia bau isteri yang sudah lama meninggal dunia," kata sayu.

Selepas peristiwa itu dia kemudian dihantar oleh anak lelakinya ke Laman Khaira bagi menikmati kehidupan yang lebih selesa bersama penghuni lain.

Dia mengakui berasa gembira di situ kerana dijaga dengan baik oleh jururawat serta pembantu perubatan yang bertugas 24 jam.

"Sejak duduk di sini berat badan saya semakin naik. Saya juga dapat belajar agama dan bertukar cerita dengan rakan seusia," katanya yang dulunya bertugas sebagai guru mata pelajaran Kimia dan Matematik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 5:15 AM