Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mensasarkan lebih ramai penuntut asnaf dan kurang berkemampuan di institusi pengajian tinggi dibantu menerusi sumbangan Khaira PPZ.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pihaknya terus menyalurkan sumbangan Khaira PPZ kepada golongan ini yang terkesan akibat penularan Covid-19 sejak Mac lalu.

Menurutnya, kutipan zakat diperoleh PPZ-MAIWP sejak Januari hingga Ogos lalu berjumlah RM488 juta dan jumlah itu meningkat sebanyak lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Walaupun negara kini bergelut dengan pandemik Covid-19, namun jumlah kutipan zakat yang diterima PPZ-MAIWP tidak terjejas malah meningkat berbanding tahun lalu.

"Ini membolehkan lebih ramai golongan asnaf dan kurang berkemampuan disantuni PPZ-MAIWP menerusi pelbagai program dan insentif," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Khaira PPZ-MAIWP kepada Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor KUPTM, Prof Dr Darulihsan Abdul Hamid.

Menerusi program berkenaan, seramai 100 penuntut KUPTM dari keluarga B40 menerima sumbangan bulanan kewangan dengan jumlah keseluruhan RM18,000 dari dana wakalah syarikat korporat yang membayar zakat kepada PPZ-MAIWP.

Katanya, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban penuntut KUPTM dari keluarga B40 untuk meneruskan pengajian.

"Diharap sumbangan ini dapat membantu penuntut untuk terus fokus dalam pengajian sekali gus berupaya membawa keluarga keluar dari kemiskinan.

"Justeru, orang ramai dan syarikat korporat diseru untuk menunaikan zakat secara konsisten menerusi Skim Potongan Zakat Bulanan sekali gus boleh membantu lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan," katanya.

Ahmad Shukri Yusoff.
Ahmad Shukri Yusoff.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 2:04 PM