FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Balqis Jazimah Zahari


Seramai 103 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara banjir di sekitar Perak Tengah dekat Parit setakat 11 pagi ini.

Timbalan Pengarah Pertahanan Awam Perak, Zairil Anuar Zulmuji berkata, jumlah mangsa menurun berbanding sebanyak 123 mangsa daripada 28 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sehingga malam semalam.

Katanya, kesemua semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Simpang Tiga sebelum ini sudah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga pada 2 petang semalam.

"Tinjauan anggota ke kawasan yang terjejas mendapati air semakin surut di kebanyakan rumah yang terjejas.

"Namun begitu sekiranya berlaku kenaikan paras air dan hujan berterusan kemungkinan besar jumlah mangsa akan meningkat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, keadaan cuaca di kawasan berkenaan mendung dan pemantauan di lokasi masih dilakukan dari semasa ke semasa.

"Maklumat akan menyusul dari semasa ke semasa," katanya.

Mangsa adalah penduduk dari Kampung Serapoh dan Kampung Simpang Tiga.

Mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara apabila banjir melanda kawasan terbabit sejak petang Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 1:48 PM