Balqis Jazimah Zahari


Manjung : Satu-satunya pusat pemindahan banjir yang paling lama menempatkan mangsa banjir di Perak iaitu di Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung ditutup pada jam 12 tengah hari ini.

Timbalan Pengarah Pertahanan Awam Perak, Lt Kol (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, pusat pemindahan berkenaan yang dibuka sejak 23 Januari lalu akhirnya ditutup selepas paras air surut sepenuhnya.

Katanya, kumpulan terakhir seramai 92 mangsa daripada 23 keluarga yang berada ditempatkan di pusat pemindahan sejak malam tadi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar bagi pentadbiran dan keselesaan mangsa semasa berada di pusat pemindahan.

"Kerjasama dan keprihatinan disanjung tinggi dan semoga kerjasama ini dapat terus dikekalkan pada masa hadapan demi kemaslahatan rakyat di daerah Manjung," katanya

Pusat pemindahan sebelum ini merekodkan jumlah mangsa paling tertinggi dan mengalami fenomena air termenung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 3:27 PM