Pekarangan rumah penduduk di Kampung Serapoh masih digenangi air banjir. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Pekarangan rumah penduduk di Kampung Serapoh masih digenangi air banjir. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Muhamad Lokman Khairi


Parit: Hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir melanda Kampung Serapoh dan Kampung Buluh Akar, di sini malam tadi disifatkan sebagai antara yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.

Norlizah Sudar, 50, berkata, ini kali pertama air banjir yang memasuki rumahnya mencecah paras lebih satu meter hingga turut menenggelamkan perabot, barangan elektrik dan pakaian.

Dia yang juga usahawan sambal pecal berkata, semua mesin pemprosesan dan bahan mentah seperti kacang tanah, gula dan belacan di bengkel bersebelahan kediamannya juga rosak membabitkan anggaran kerugian RM15,000.

"Sebelum ini, pernah berlaku banjir namun tidak pernah bengkel kami tenggelam.

"Air membawa lumpur naik begitu pantas sementara kami sekeluarga langsung tidak bersedia kerana tidak menyangka berlaku banjir seteruk ini," kata ibu dua anak itu ketika ditemui di Kampung Serapoh, di sini, hari ini.

Tinjauan di lokasi mendapati, penduduk mula mencuci kediaman masing-masing yang dimasuki lumpur sementara air banjir beransur surut.

Seorang lagi penduduk, Basri Abdul Hamid, 74, meluahkan perasaan terkejut berikutan arus deras air banjir menghanyutkan sofa dan perkakas berkebun miliknya kira-kira 200 meter dari rumahnya di Kampung Serapoh.

"Ini paling teruk selepas banjir besar 2014. Ketika kejadian saya cuma sempat selamatkan ubat-ubatan sebelum dibawa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga.

"Saya pulang pagi ini lihat rumah sudah tunggang-langgang dengan sofa dihanyutkan ke luar rumah.

"Dalam rumah airnya sudah surut, cuma di pekarangan sahaja masih bergenang banjir," kata pesara tentera itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Tiga, Mohd Yusoff Yahaya, 65, berkata sebanyak 37 rumah terbabit dalam musibah banjir kali ini.

Berdasarkan pemantauan pihaknya, keadaan banjir di kawasan sekitar termasuk Kampung Buluh Akar dan Kampung Serapoh menunjukkan trend semakin surut.

"Bagaimanapun, masih ada beberapa perkarangan rumah yang masih digenangi air.

"Sukarelawan sudah digerakkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan di kediaman penduduk kampung yang terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan memaklumkan setakat 12 tengah hari ini, PPS SK Simpang Tiga Parit menempatkan 209 mangsa daripada 73 keluarga terjejas banjir di daerah Perak Tengah.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak pula melaporkan, paras air Sungai Ijok di Stesen Titi Ijok dalam daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) berada pada paras berbahaya, manakala Sungai Kinta di Stesen Tanjung Tualang dalam daerah Kinta berada pada paras berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 2:35 PM