Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Tiga, Parit, ditutup sebagai pusat pemindahan mangsa banjir di Padang Rengas hari ini dan gambar kanan, keadaan banjir di Kampung Gabis, Padang Rengas, semalam.
Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Tiga, Parit, ditutup sebagai pusat pemindahan mangsa banjir di Padang Rengas hari ini dan gambar kanan, keadaan banjir di Kampung Gabis, Padang Rengas, semalam.
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Dua daripada tiga pusat pemindahan banjir di negeri ini ditutup hari ini, dengan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas air surut sepenuhnya.

Pusat pemindahan yang ditutup ialah Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Tiga, Parit membabitkan 95 mangsa dan Dewan Orang Ramai Kampung Setor, Padang Rengas, Kuala Kangsar membabitkan 24 mangsa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, hanya satu pusat pemindahan masih dibuka sejak 2 Disember lalu, iaitu di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kampung Padang Serai, Pantai Remis di Manjung.

Katanya, seramai 73 mangsa masih ditempatkan di pusat penempatan sementara berkenaan selepas kawasan itu dilanda banjir sejak 2 Disember lalu.

Awal pagi tadi, 119 orang membabitkan 24 keluarga dari beberapa kampung di Kuala Kangsar dan Perak Tengah dipindahkan di dua pusat pemindahan yang dibuka susulan banjir kilat yang melanda kawasan itu sejak 8 malam semalam.

Antara kawasan yang terjejas di Padang Rengas ialah Kampung Setor, Kampung Changkat Gohor, Kampung Lembah, Kampung Paya Panjang dan Kampung Gapis manakala di Parit, Kampung Simpang Tiga dan Kampung Serapoh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 7:53 PM