Peniaga dalam talian, Nurul Athirah Razali (kanan) bersama kakaknya, Siti Nur Fahimah Razali menyaksikan pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak   melalui telefon pintar.
Peniaga dalam talian, Nurul Athirah Razali (kanan) bersama kakaknya, Siti Nur Fahimah Razali menyaksikan pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui telefon pintar.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan pengurangan dua mata peratusan cukai pendapatan individu dan pengecualian cukai ke atas sewaan sebanyak 50 peratus bagi sewaan sehingga RM2,000, kedua-duanya berbentuk kesan serampang dua mata yang positif.

Ini kerana bagi penurunan dua mata peratusan cukai pendapatan individu dalam kategori pendapatan RM20,001 sehingga RM70,000 yang mendapat pengurangan bermula tiga peratus sehingga 14 peratus setahun mampu meningkatkan pendapatan boleh guna antara RM300 sehingga RM1,000.

Seterusnya, menjadikan lebih 261,000 pembayar cukai sebelum ini tidak perlu membayar cukai bermula tahun depan.

Presidennya, Datuk Abd Aziz Abu Bakar berkata, pengurangan dua mata itu turut mencerminkan kerajaan terus memberi perhatian kepada golongan berpendapatan pertengahan (M40) yang secara majoritinya menjadi penyumbang utama dalam kutipan cukai pendapatan negara.

Beliau berkata, hasil pengurangan dua mata berkenaan yang memberi kesan peningkatan pendapatan boleh guna antara RM300 sehingga RM1,000 bagi setiap individu, memberi manfaat perbelanjaan atau simpanan kepada golongan pertengahan.

“Jika kita lihat, kerajaan sebelum ini memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kepada golongan sasar berpendapatan rendah dan kali ini bantuan diperluaskan kepada golongan pertengahan dalam bentuk pelepasan cukai individu, sekali gus menunjukkan Bajet 2018 memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat Malaysia.

“Selain itu, jika melihat kepada skala perbelanjaan pengguna pula, menerusi pelepasan ini membantu meningkatkan penggunaan domestik yang lebih menyeluruh kepada rakyat kerana kita tahu antara kesan pemberian BR1M sebelum ini adalah untuk melonjakkan penggunaan domestik dalam makro ekonomi negara,” katanya, semalam.

Sementara itu, mengenai pengecualian cukai ke atas sewaan sebanyak 50 peratus bagi sewaan kediaman sehingga RM2,000, Abd Aziz berkata, ia adalah langkah yang menggalakkan lebih ramai pemilik kediaman melaporkan hasil pendapatan sewaan mereka kepada pihak kerajaan.

Katanya, sekiranya lebih ramai pemilik kediaman melaksanakan tanggungjawab untuk melaporkan aktiviti sewaan kediaman mereka, ia sudah pasti dapat membantu kerajaan meningkatkan hasil pendapatan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 11:58 AM