Projek kediaman KITA Sejati oleh LBS.
Projek kediaman KITA Sejati oleh LBS.

Kuala Lumpur: Pembeli rumah kali pertama berupaya menikmati penjimatan sehingga RM21,000 untuk hartanah yang berharga melebihi RM500,000.

Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Bhd, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS mengalu-alukan langkah kerajaan untuk meningkatkan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah kali pertama daripada 50 peratus kepada 75 peratus ke atas hartanah yang berharga di antara RM500,000 ke RM1 juta sehingga akhir 2023.

Katanya, secara umum langkah ini dilihat berupaya menghasilkan penjimatan sehingga RM21,000 daripada RM14,500 untuk hartanah yang berharga melebihi RM500,000.

"LBS melihat perkara ini sebagai suatu langkah yang positif berikutan ia mampu merangsang pemilikan rumah dan bermanfaat untuk pembangunan dan pembinaan perumahan yang berada di gugusan harga terbabit, di mana LBS juga melancarkan projek hartanah dan perumahan dalam lingkungan RM500,000.

"Selain itu, berikutan peningkatan inflasi, pengurangan kadar cukai pendapatan peribadi sebanyak dua mata peratusan bagi mereka yang berpendapatan antara RM50,001 hingga RM100,000 adalah bantuan yang dialu-alukan untuk rakyat.

"Penjimatan cukai pendapatan tambahan membolehkan individu menyalurkan pendapatan mereka ke arah keperluan asas, seperti pemilikan rumah dan seterusnya meringankan beban kewangan mereka," katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San.

Menurutnya, sebagai tambahan, LBS turut memuji langkah kerajaan kerana menyediakan jaminan berjumlah RM3 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan.

Katanya, ini secara positifnya bakal memberi faedah untuk mereka yang tergolong dalam isi rumah berpendapatan rendah kerana ia menggalakkan kesedaran bahawa adalah tidak mustahil untuk mereka memiliki kediaman idaman.

Dalam pada itu, menurutnya, pihaknya turut berbesar hati melihat kadar penghunian yang amat menggalakkan di Hotel SCAPES miliknya sejak pembukaan semula ekonomi.

"Sehubungan dengan itu, insentif di bawah Bajet 2023 untuk industri pelancongan seperti yang dibentangkan bakal merancakkan sektor ini.

"Ia antara lain membolehkan rakyat menikmati diskaun sehingga RM100 dalam baucar dan rebat untuk penginapan dan pakej pelancongan melalui insentif RM25 juta yang telah diumumkan.

"Insentif ini dilihat akan terus membantu merangsang pemulihan industri pelancongan secara berterusan yang rata-ratanya terjejas berikutan pandemik," katanya.

Menurutnya, secara keeluruhan Bajet 2023 dilihat positif melalui inklusiviti yang memberikan kelegaan kepada rakyat.

"Walaupun langkah yang dicadangkan untuk sektor hartanah adalah minimum pada tahun ini, ia sememangnya proaktif dalam merangsang pemilikan rumah terutamanya melalui peningkatan dalam pengecualian duti setem bagi kediaman yang terletak di dalam lingkungan harga RM500,000 hingga RM1 juta.

"Secara keseluruhannya, kami menghargai inisiatif kerajaan untuk terus mendorong pemulihan ekonomi dan merangsang pertumbuhan dalam negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 3:42 PM