Oleh Dr Mohd Fairuz Md Salleh

Bajet 2016 dengan tema mensejahterakan kehidupan rakyat menunjukkan bukti kerajaan prihatin dan komited membantu meringankan beban rakyat terutama dalam menangani beban peningkatan kos sara hidup bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pemberian langsung kepada golongan sasar berpendapatan rendah B40 yang ditingkatkan dalam bajet kali ini adalah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah jumlah BR1M ditingkatkan lima peratus kepada RM1,000 dan bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 dan RM4,000 sebulan akan mendapat RM800 daripada RM750 iaitu peningkatan tujuh peratus.

Untuk individu bujang 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah, bantuan BR1M ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400 iaitu peningkatan 14 peratus. Bajet 2016 juga memperkenalkan pemberian BR1M khusus kepada kategori baru iaitu penerima program eKasih yang menerima bantuan RM1,050.

Persoalannya, cukupkah peningkatan RM50 ‘sekali beri’ ini membantu meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat kini? Secara dasarnya, BR1M adalah baik bagi bantuan sara hidup jangka pendek kepada golongan sasar. Bagaimanapun, agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan perlu menilai semula berapa lama penerima BR1M harus menerimanya?

Khususnya bagi kumpulan individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang kini 2.7 juta orang, siapakah mereka sebenarnya? Adakah mereka daripada golongan yang mempunyai ijazah atau diploma atau sijil kemahiran tetapi masih tidak mendapat peluang pekerjaan lebih baik?

Mengapa dan di mana kekurangan mereka? Mereka tidak seharusnya dibiarkan terus-terusan menerima bantuan BR1M kerana mereka mempunyai kudrat dan banyak potensi untuk meningkatkan taraf hidup. Harus dihadkan tempoh masa penerimaan BR1M misalnya setahun saja bagi kumpulan individu bujang dan perlu dipastikan mereka dapat menjana pendapatan lebih tinggi.

Peruntukan RM100 juta kepada Institusi Latihan Kemahiran Swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), RM50 juta kepada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan, tambahan peruntukan RM200 juta kepada dana sedia ada untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi kemudahan dan RM600 juta kepada TEKUN diharap dapat dilaksanakan sebaik mungkin untuk membantu golongan B40 termasuk golongan individu bujang penerima BR1M ini.

Maklumat tentang kemudahan ini harus dipastikan sampai kepada mereka secara keseluruhannya terutama mereka yang tinggal di luar bandar dan memiliki akses terhad kepada maklumat.

Berita yang lebih menggembirakan khususnya golongan B40 dalam Bajet 2016 ialah kenaikan had gaji minimum kepada pekerja swasta dan penjawat awam. Untuk pekerja swasta di Semenanjung, mereka akan menerima gaji minimum RM1,000 berbanding RM900 kini dan bagi pekerja swasta di Sabah, Sarawak dan Labuan, mereka akan menerima kenaikan gaji minimum RM120 daripada RM800.

Untuk penjawat awam yang memasuki perkhidmatan awam melalui sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan menerima gaji minimum RM1,200 sebulan dan pasti memberi kelegaan kepada 400,000 penjawat awam seperti yang dilaporkan CEUPACS (Bernama, 20/4/2015) yang masih menerima gaji bulanan serendah RM805.

Kenaikan gaji minimum dilihat sebagai bantuan terus kepada golongan B40 yang bersifat jangka panjang dan sebagai contoh, jika seorang penjawat awam menerima RM900 sebulan maka mereka menerima pendapatan tambahan RM300 sebulan dan jika diandaikan BR1M diagihkan secara bulanan (RM1,000/12=83), setiap bulan mulai tahun hadapan mereka akan membawa pulang pendapatan tambahan RM383.

Jumlah ini kelihatan lebih membantu mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup mereka dan paling penting, peningkatan pendapatan ini harus dibelanjakan sebaik mungkin untuk memastikan kelangsungan kehidupan yang lebih baik.

Kelangsungan kesejahteraan rakyat kumpulan berpendapatan pertengahan yang diperkenalkan sebagai kumpulan M40 iaitu kelompok berpendapatan RM3,860 hingga RM8,319 juga menjadi fokus utama Bajet 2016. Walaupun tidak mendapat bantuan BR1M seperti golongan B40, mereka mendapat faedah daripada kenaikan beberapa had pelepasan cukai.

Antaranya bagi mereka yang berkeluarga maka had pelepasan cukai setiap anak berumur bawah 18 tahun ditingkatkan RM1,000 kepada RM2,000, pelepasan untuk anak berumur 18 tahun ke atas yang melanjutkan pelajaran dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000, sekiranya pasangan mereka tidak berpendapatan, mereka mendapat pelepasan cukai RM4,000 daripada RM3,000.

Seterusnya bagi mereka menyara ibu bapa berumur 60 tahun ke atas yang berpendapatan kurang RM2,000, mereka boleh mendapat pelepasan cukai RM1,500 untuk setiap ibu dan bapa tidak termasuk pelepasan untuk mereka yang mempunyai anak orang kelainan upaya (OKU).

Faedah daripada kenaikan had pelepasan cukai ini walau bagaimanapun dapat dinikmati pada masa bayaran dibuat untuk amaun cukai kena bayar yang ditaksirkan biasanya selepas bulan April tahun berikutnya, melainkan pelarasan pengurangan potongan bulanan dilaksanakan bagi mereka yang membuat potongan cukai berjadual.

Untuk golongan ini khususnya penjawat awam, yang lebih jelas membantu mengurangkan peningkatan kos sara hidup adalah faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred, sebagai bantuan jangka panjang dan pemberian khas RM500 sebagai bantuan jangka pendek.

Cukupkah kenaikan gaji pada kadar tiga peratus daripada gaji maksimum setiap gred itu menampung kadar kenaikan kos sara hidup yang pastinya lebih tinggi dan meningkat? Sekali lagi dalam hal ini, perancangan yang baik dalam berbelanja dengan mengambil kira lebihan daripada kenaikan gaji dan peningkatan pelepasan cukai amat dituntut dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar ini.

Golongan pesara juga tidak dilupakan dalam Bajet 2016 di mana mereka akan menerima bayaran bantuan khas RM250 dan bagi 50,000 pesara awam dengan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 25 tahun yang menerima pencen paling rendah mendapat kenaikan pencen kepada RM950 sebulan.

Pengumuman ini sedikit sebanyak melegakan pesara untuk menampung peningkatan kos sara hidup yang turut dirasai mereka, lebih-lebih lagi bagi mereka yang perlu menyara kehidupan sendiri dan pasangan tanpa bantuan anak.

Manfaat lain yang diumumkan dalam Bajet 2016 yang dilihat boleh membantu secara langsung kepada sesetengah golongan rakyat ialah yang berkaitan dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Antaranya GST kadar sifar ke atas semua jenis ubat terkawal (senarai racun kumpulan A, B, C dan D), GST kadar sifar ke atas tambahan 95 jenama ubat meliputi 30 penyakit seperti kanser, kencing manis, darah tinggi dan jantung, GST kadar sifar untuk sesetengah barang makanan seperti susu bayi berasaskan kacang soya dan susu organik, jumah bayaran GST yang akan dikembalikan semula kepada pengguna kad prabayar dan pengecualian GST bagi perkhidmatan pengangkutan udara laluan luar bandar.

Senarai tambahan GST kadar sifar ini walau bagaimanapun dilihat memberi manafaat kepada kumpulan pengguna yang terhad, misalnya pengguna susu bayi berasaskan soya dan organik. Alangkah baiknya jika semua jenis susu bayi dan susu untuk golongan tua mendapat GST kadar sifar dan dipanjangkan lagi kepada lebih banyak barangan keperluan asas dan perkhidmatan misalnya caj perkhidmatan mesin pengeluaran automatik (ATM), sekurang-kurangnya untuk tempoh keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

Pelaksanaan GST ke atas barangan dilihat boleh diperbaiki untuk membantu kefahaman dan perancangan pengguna antaranya mewajibkan peniaga khususnya peniaga runcit di pinggir dan luar bandar menandakan barangan yang mendapat pengecualian GST atau GST kadar sifar untuk memudahkan pengguna merancang dan membuat pilihan barangan yang hendak dibeli.

Pemantauan juga harus sentiasa ditingkat dan diperluaskan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara berlebihan daripada kadar GST. Selain itu, bagi menambah kefahaman dan keyakinan kebanyakan rakyat, perlu juga dilaporkan ke mana hasil daripada cukai GST ini dibelanjakan selain dinyatakan sebahagian besar pada ketika ini digunakan untuk menampung kekurangan hasil petroleum.

Untuk menangani isu pemilikan rumah khususnya bagi golongan B40 dan M40, lebih banyak rumah mampu milik akan dibina antaranya 175,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang akan dijual pada 20 peratus di bawah harga pasaran iaitu 10,000 unit mulai tahun hadapan, 100,000 unit perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) berharga antara RM90,000 hingga RM300,000 mulai tahun 2018, selain pangsapuri KPKT, rumah teres PPR KPKT, rumah mampu milik SPNB dan Sime Darby serta rumah bagi generasi kedua FELDA, FELCRA dan RISDA yang menyaksikan penurunan harga kepada RM70,000 sebuah bagi rumah FELDA.

Bagi meringankan lagi pemilikan rumah ini, Bajet 2016 memperuntukkan RM200 juta untuk deposit bagi pembeli rumah pertama. Bantuan ini dilihat sangat membantu, sekali gus meringankan beban golongan terbabit kerana pembayaran deposit sering menjadi penghalang untuk mereka memiliki rumah.

Intervensi kerajaan dalam penetapan harga mampu milik yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran secara tidak langsung memberi kesan penjimatan atau lebihan pendapatan kepada golongan ini, sekali gus meningatkan kuasa beli lain-lain keperluan kehidupan mereka. Pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dalam pasaran sedikit sebanyak menstabilkan harga pasaran rumah untuk manafaat rakyat keseluruhan. Dalam hal menstabilkan harga pasaran rumah juga, pihak pembiaya boleh mengurangkan jumlah pembiayaan yang pada ketika ini sekitar 60 peratus dan meningkatkan kadar faedah pinjaman untuk pembelian rumah kedua dan seterusnya mengehadkan pembelian bagi tujuan penjualan.

Kesimpulannya, Bajet 2016 secara keseluruhan mempunyai aspek sosial yang kuat bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat. Bantuan dan inisiatif yang diumumkan dalam Bajet 2016 antaranya seperti yang dibincangkan di atas dilihat antara pendekatan bagi mencapai objektif yang digariskan kerajaan khususnya objektif untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan memastikan keterangkuman.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 6:26 AM