SHAHRUL Othman (tiga dari kanan) melakukan pemeriksaan pada Op Bersepadu sempena Op Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
SHAHRUL Othman (tiga dari kanan) melakukan pemeriksaan pada Op Bersepadu sempena Op Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Nor Azizah Mokhtar


OP Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri yang masuk hari ke-13, hari ini menunjukkan penurunan jumlah kemalangan maut dan kematian berbanding tempoh sama pada Op Selamat 11/2017 sempena Aidilfitri, tahun lalu.

Sejak kempen Op Selamat 13 dilancarkan pada 8 Jun lalu, sebanyak 189 kemalangan maut dicatatkan di seluruh negara membabitkan 200 kematian.

Jumlah itu menunjukkan penurunan 18 kes atau 9 peratus untuk kemalangan maut manakala jumlah kematian menurun sebanyak 11 peratus atau 25 kes.

Untuk tempoh sama pada Op Selamat 11 tahun lalu, sebanyak 207 kemalangan maut dicatatkan membabitkan 225 kematian.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansor berkata, jumlah kemalangan di seluruh negara turut mencatatkan penurunan pada Ops Selamat 13 yang akan berakhir esok.

“Jumlah kemalangan keseluruhan menunjukkan penurunan 2 peratus atau 360 kes kepada 19,538 kes berbanding 19,898 kes pada Op Selamat 11.

“Ini adalah hasil komitmen JSPT serta agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang mengadakan operasi berterusan sejak kempen Op Selamat 13 dilancarkan dua minggu lalu,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi penyumbang utama kemalangan maut dengan 119 kematian diikuti pemandu dan penumpang kereta dengan 61 kematian.

“Jumlah saman dikeluarkan pada Op Selamat kali ini meningkat 40 peratus iaitu 201,835 saman berbanding Op Selamat lalu iaitu 159,249 saman.

“Saman tertinggi masih membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju dengan 175,745 saman.

“Kesalahan lain adalah memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat,” katanya.

Terdahulu, Shahrul mengetuai Ops Khas di Plaza Tol Sungai Besi bersama JPJ, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), APAD dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Sebanyak 94 saman trafik dikeluarkan pada Operasi Khas yang mensasarkan kenderaan berat dan perdagangan itu.

Menerusi ujian saringan air kencing oleh AADK, seorang pemandu lori didapati positif dadah manakala seramai 12 warga asing ditahan JIM kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 10:37 PM