ANGGOTA polis trafik melakukan pemeriksaan pada Operasi Bersepadu Khas Genting di Plaza Tol Gombak, hari ini. Foto ASWADI ALIAS.
ANGGOTA polis trafik melakukan pemeriksaan pada Operasi Bersepadu Khas Genting di Plaza Tol Gombak, hari ini. Foto ASWADI ALIAS.
Hasbi Sidek


CUKAI jalan tamat tempoh sejak 10 tahun lalu. Kesalahan itu dikesan dilakukan pemilik kereta Ferrari ketika Op Khas Bersepadu Genting di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Gombak, semalam.

Operasi diadakan selama dua hari bermula semalam di dua lokasi iaitu di Plaza Tol Gombak dan Jalan Batang Kali-Genting itu menyaksikan sebanyak 572 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua JSPT Selangor Superintendan Azman Shariat berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan terhadap kenderaan membabitkan kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi yang dikesan menjadikan lebuh raya sebagai litar lumba untuk melepaskan gian ketika hujung minggu.

“Operasi ini turut dibantu anggota JSPT Bukit Aman selain disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Gombak, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JPJ. Hasilnya pihak polis mengeluarkan sebanyak 355 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 94 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, tiada cermin sisi (31), tiada cukai jalan (54), nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (90), tidak memakai tali pinggang keledar (12), menggunakan lorong kecemasan (6), kesalahan lesen P dan L (15) serta lain-lain kesalahan (49),” katanya ketika sidang media sejurus operasi, hari ini.

Katanya, sebahagian daripada saman itu dikenakan terhadap pemilik dan penunggang motosikal berkuasa tinggi serta kereta mewah yang dikesan ‘tidak cukup sifat’.

“Dalam operasi ini, pihak polis turut menahan lapan lelaki kerana kesalahan membabitkan dadah, memandu secara berbahaya, memandu di bawah pengaruh alkohol dan menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala seorang wanita Vietnam turut ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

“Pihak JPJ mengeluarkan 217 saman membabitkan pelbagai kesalahan. Manakala, pihak AADK melakukan saringan ujian air kencing terhadap 75 individu dengan 16 daripada mereka ditahan selepas didapati positif dadah,” katanya.

Katanya, pihaknya mendapat maklumat bahawa Lebuhraya KLK sering digunakan sebagai tempat untuk menguji jentera bagi pemilik motosikal berkuasa tinggi dan kereta mewah atau ‘sport car’ yang boleh membahayakan keselamatan pemandu lain selain menyumbang kepada jumlah kemalangan.

“Golongan ini dikesan melakukan pelbagai kesalahan trafik lain. Antara kesalahan sering dilakukan adalah lesen memandu tidak mengikut kelas kenderaan, tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh seperti kesalahan yang dilakukan pemilik sebuah Ferrari semalam, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan ubahsuai kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 3:06 PM