ANGGOTA APM memberi rawatan kepada mangsa yang parah akibat terjatuh pokok Serai Kayu di Jalan Melati 10, Gombak Setia.
ANGGOTA APM memberi rawatan kepada mangsa yang parah akibat terjatuh pokok Serai Kayu di Jalan Melati 10, Gombak Setia.
Nadzreen Shah Mat Salim

Gombak: Seorang lelaki cedera parah dan muntah darah sejurus terjatuh dari pokok Serai Kayu setinggi tujuh meter di Jalan Melati 10, Gombak Setia, di sini.

Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, mangsa Nur Haszuan Md Nor, 26, dipercayai memanjat pokok berkenaan untuk mendapatkan daun pokok itu untuk dijual di Pasar Chow Kit.

Difahamkan, terdapat beberapa kanak-kanak yang bermain di kawasan itu sebelum mereka menyedari kejadian menimpa mangsa.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6 petang sebelum sekumpulan anggota APM bergegas ke lokasi kejadian.

“Empat anggota dikerahkan ke lokasi. Setibanya di sana, didapati seorang lelaki dalam keadaan terbaring kesakiran akibat terjatuh dari pokok,” katanya.

Menurutnya, anggota APM yang membuat pemeriksaan terhadap mangsa mendapati lelaki itu mengalami kecederaan parah di kepala dan tulang belakangnya.

“Mangsa turut muntah darah akibat kecederaan itu ketika anggota APM memberikan rawatan kepadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 6:02 AM