SEBAHAGIAN kura-kura Sulcata yang dirampas AKSEM. FOTO ihsan AKSEM
SEBAHAGIAN kura-kura Sulcata yang dirampas AKSEM. FOTO ihsan AKSEM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis merampas 58 cicak Bearded Dragon dan lapan kura-kura Sulcata bernilai RM18,100 yang diseludup masuk dari Thailand melalui stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Kg Kolam, Padang Besar, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, AKSEM turut menahan lelaki berusia 36 tahun dan pasangan warga Thailand berusia 24 dan 28 tahun.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada hasil risikan AKSEM yang melakukan penyiasatan terperinci terhadap aktiviti penyeludupan.

"Semua suspek dipercayai menjadikan negara ini sebagai transit atau simpanan sementara haiwan terbabit sebelum dieksport ke China.

"Ini berikutan harga kura-kura jenis itu (Sulcata) boleh mencecah RM180,000 seekor bagi saiz besar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua haiwan berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 69 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau penjara sehingga 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 1:55 PM