Mohamad Zulfika bersama lembu sado bernama 'Joni' yang dijual dengan harga RM14,000. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohamad Zulfika bersama lembu sado bernama 'Joni' yang dijual dengan harga RM14,000. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Jerantut: Tawaran lumayan mencecah RM14,000 mendorong seorang penternak bertindak menjual seekor lembu 'sado' baka Limousine kesayangannya bernama 'Joni' untuk ibadat korban bulan depan.

Lembu jantan dengan berat lebih 700 kilogram (kg) itu milik Mohamad Zulfika Hassan, 29, dari Felda Kota Gelanggi Empat dekat sini. Kini, haiwan berkenaan sudah dibeli oleh seorang pembeli dari Melaka.

Mohamad Zulfika berkata, lembu sado berkenaan dibelinya tiga bulan lalu dari seorang penternak di Terengganu bagi tujuan pembiakan, di samping sebagai hobi dalam ternakan bersaiz besar.

Bagaimanapun katanya, disebabkan pembeli berkenaan yang begitu berminat untuk mendapatkan lembu terbabit untuk dijadikan haiwan korban, dia dengan rela hati mengambil keputusan menjualnya walaupun berat hati berbuat demikian.

Menurutnya, walaupun 'Joni' bersaiz besar dan kelihatan ganas dengan tanduk yang tajam tetapi sebenarnya lembu terbabit jinak dan mudah dikawal, sesiapa sahaja boleh memegang dan mengawalnya, dengan menggunakan tali.

"Saya hanya sempat bersama 'Joni' selama tiga bulan sahaja dan hari ini, lembu berkenaan akan dihantar kepada pembelinya di Melaka. Saya sendiri yang menghantarnya menggunakan lori.

"Sepanjang di bawah jagaan saya selama tiga bulan setiap hari 'Joni' diberikan makan palet selain rumput, ia ditempatkan dalam kandang khas berhampiran rumah bagi memastikan keselamatannya," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum ini, dia pernah menjual seekor lembu 'sado' dengan harga RM7,000, namun selepas itu dia tidak lagi berminat memelihara lembu 'sado' kerana kos makanan yang semakin meningkat.

Dia kini hanya memiliki seekor lembu jenis berkenaan.

Mohamad Zulfika berkata, walaupun mampu meraih pendapatan lumayan setiap kali menjual lembu 'sado', namun dalam masa sama, kos makanan dikeluarkan juga tinggi terutama untuk menyediakan palet.

Katanya, dia kini memiliki lebih 40 lembu baka Kedah-Kelantan yang diternak secara bebas dalam kawasan ladang kelapa sawit di Felda Kota Gelanggi Empat. Lebih 30 ekor sudah dijual untuk ibadah korban tahun ini, berbanding lebih 40 ekor tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 8:38 AM