ZAHARI (kanan sekali) menyaksikan tugasan syarikat perkhidmatan kurier sedang mengambil maklumat penerima daripada seorang jemaah
ZAHARI (kanan sekali) menyaksikan tugasan syarikat perkhidmatan kurier sedang mengambil maklumat penerima daripada seorang jemaah
Husain Jahit


Makkah: Ramai jemaah mula menghantar pulang barangan yang dibeli menggunakan dua perkhidmatan agensi kurier yang dilantik oleh Lembaga Tabung Haji dengan purata penghantaran antara dua hingga tiga tan sehari bagi setiap agensi.

Pengurus Khidmat Luar Lembaga Tabung Haji (TH), Zahari Zainal berkata, trendnya dilihat sama seperti tahun lalu, yang mana jemaah gemar menghantar barangan yang dibeli lebih awal walaupun ada perubahan mata wang.

Penyediaan perkhidmatan itu dilihat sebagai satu keperluan apabila jemaah banyak membeli-belah dan oleh kerana bimbangkan terlebih timbangan sewaktu balik nanti, jadi mereka mengirim dulu barangan lebih awal.

"Bayaran penghantaran pun tidak berubah. Sama seperti tahun lalu iaitu SAR18 bagi penghantaran ke semenanjung Malaysia dan SAR23 bagi Sabah dan Sarawak."

"Kebanyakan barangan yang dihantar antaranya termasuklah pakaian, sejadah, kurma dan kekacang. Kedua-dua agensi akan memastikan barangan yang dihantar tidak termasuk barang larangan seperti air zamzam, senjata, barang cetak rompak, barangan elektronik, power bank, kad kredit dan wang tunai," katanya kepada Petugas Media Tabung Haji, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, menurut Zahari, pengirim tidak perlu bimbang kerana barangan yang dihantar dijamin selamat dan dilindungi insurans Takaful, jika berlaku sebarang kerosakan pada barang atau kotak yang dihantar.

"Jemaah dinasihatkan menggunakan perkhidmatan agensi yang dilantik sahaja kerana kalau menggunakan agensi luar, pihak TH akan bertanggungjawab jika berlaku kehilangan atau kerosakan pada barang yang dikirim," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, TH akan membuat pemantauan secara berkala untuk memastikan kesemua vendor-vendor luar ini mengikut standard perkhidmatan yang diharapkan termasuk perkhidmatan di Hajj Cafeteria yang menawarkan pelbagai makanan dan minuman pada harga sangat berpatutan.

"Harga minuman dan makanan di Hajj Cafeteria sudah ditetapkan oleh pihak TH Travel & Services Sdn Bhd iaitu syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikannya.," tambahnya.

Beliau berkata, makanannya juga hendaklah ditukar mengikut tempoh ditentukan, contohnya makanan untuk sarapan pagi yang dipamerkan sejak 7 pagi tidak boleh lagi dipamerkan pada waktu makan tengah hari, sekiranya ia tidak habis.

"Ia untuk memastikan semua makanan selamat dimakan oleh jemaah, selain kebersihan kawasan kafe yang harus diutamakan, kita juga melihat kepada kualiti kepelbagaian menu yang ditawarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 8:33 AM