REMAJA ingin kemenangan dalam bersukan.
REMAJA ingin kemenangan dalam bersukan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


REMAJA masa kini menginginkan kemenangan dalam segala aspek kehidupan, sama ada di sekolah, di rumah, acara sukan dan antara rakan.

Persaingan boleh berbentuk sihat atau sebaliknya dan remaja boleh merasakan tekanan yang hebat, jika terlalu risau mengenai persaingan itu.

Memetik portal Myhealth, persaingan boleh mempengaruhi kesejahteraan dan kesihatan mental, emosi, sosial dan psikologi seseorang remaja, bergantung kepada jantina serta daya saing remaja berkenaan.

Bersaing semata-mata untuk menang boleh memudaratkan, tetapi bersaing untuk menjadi cemerlang dapat memberi manfaat kepada remaja.

Remaja lelaki lebih berminat bersaing untuk menang berbanding remaja perempuan.

Bagi remaja perempuan, bersaing semata-mata untuk menang sering dikaitkan dengan kurang mempunyai rakan dan mereka lebih berisiko berasa murung serta sunyi.

Tekanan yang dirasai akibat persaingan boleh menjurus kepada persaingan tidak sihat. Remaja mungkin tidak akan dan tidak berpuas hati dengan prestasi mereka.

Remaja juga tidak akan berani mencuba sesuatu yang baharu kerana takut kalah. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat kerana mencuba perkara baharu adalah satu keperluan perkembangan bagi setiap remaja.

Apakah yang menyebabkan persaingan menjadi sesuatu yang memudaratkan bagi remaja?

1. Remaja akan merasakan harga diri mereka bergantung kepada sama ada mereka menang atau gagal. Kegagalan adalah sinonim dengan orang tidak berguna.

2. Remaja akan melakukan apa sahaja untuk menang, termasuk menipu.

3.Hilang keseronokan belajar. Remaja yang mementingkan keputusan ujian selalunya tidak akan ingat apa dipelajari. Mereka hanya menghafal dan 'memuntahkan' jawapan ketika peperiksaan.

4.Penekanan betapa pentingnya untuk menang hanya menyebabkan remaja hilang keupayaan ajak berfikir dan menangani tekanan daripada rakan sebaya 'peer pressure.'

5. Remaja yang dilabelkan sebagai 'loser' lebih berisiko terbabit dalam aktiviti tidak sihat seperti merokok dan penggunaan dadah. Mereka melakukan aktiviti negatif ini hanya untuk mendapat pengiktirafan serta penerimaan rakan sebaya.

6. Remaja akan menggunakan kebendaan untuk menambat hati dan 'membeli' rakan.

7. Mereka mengaku kalah (quit) terlalu awal. Remaja akan mudah berputus asa dan tidak bermotivasi untuk melakukan sesuatu.

Bagaimana ibu bapa boleh membantu?

Penting bagi ibu bapa untuk membantu remaja menghadapi persaingan dengan jujur dan sihat.

Ia membimbing mereka mengenai disiplin, pengurusan masa dan matlamat hidup. caranya ialah:

1. Galakkan anak bersaing dengan diri sendiri, bukan untuk kalahkan orang lain.

2. Pastikan anak tidak menunjuk-nunjuk dan riak apabila mereka mempunyai gajet terkini.

3. Amalkan nilai kekeluargaan yang baik dan sihat. Contohnya menipu adalah amalan salah.

4. Jadi teladan yang baik untuk remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 6:58 AM