MARSHA akhirnya buka kembali mata ramai bahawa beliau penyanyi, dalam masa sama tidak membelakangkan karier lakonan.
MARSHA akhirnya buka kembali mata ramai bahawa beliau penyanyi, dalam masa sama tidak membelakangkan karier lakonan.
Georgie Joseph


MENGEJAR impian bersinar sebagai penyanyi dalam industri selama 18 tahun, Marsha Milan menjadi contoh anak seni yang tidak kenal putus asa. Akhirnya penantian itu membuahkan kemanisan buatnya.

Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 38, percaya sekarang adalah eranya untuk 'menebus' penantian itu. Dia ingin memegang rapi setiap peluang dan ruang yang diraihnya dalam industri muzik.

Justeru, dia sangat memfokuskan kepada nyanyian kala ini berbanding berlakon. Katanya, dia sangat bersyukur kerana masanya sampai juga untuk dikenali dengan gelaran penyanyi.

"Buat masa sekarang, saya nak fokus menyanyi kerana ini apa yang saya mahu sejak lebih 18 tahun lalu. Sejak awal saya cuba untuk orang sedar bahawa saya penyanyi.

"Teringat bila berlakon, saya tidak dapat buat banyak persembahan. Keadaan itu juga mengingatkan saya dahulu ada satu tahap saya keluarkan duit sendiri untuk keluarkan single, walaupun ada orang kata saya syok sendiri," katanya.

Penyanyi berasal dari Tamparuli, Sabah itu bagaimanapun tidak menafikan sentiasa rindukan lakonan. Apalagi cabang seni itu yang menaikkan namanya ke tahap tertinggi dalam industri.

Pelakon filem 7ujuh itu terbuka untuk menerima tawaran sekiranya mendapat skrip menarik. Tidak ketinggalan, bersesuaian dengan statusnya yang sudah berumah tangga.

"Cuma saya tidak juga melupakan bidang lakonan. Kalau ada skrip yang bagus, saya sedia mempertimbangkan. Saya perlu pilih betul-betul sebab saya juga seorang isteri," katanya.

MARSHA ingin terus kukuhkan nama sebagai penyanyi.
MARSHA ingin terus kukuhkan nama sebagai penyanyi.

Berjaya mencuri perhatian ramai dengan vokal mantapnya pada Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) menerusi karya melankolik berjudul Cinta menjadi titik tolak termanis buat Marsha juga.

Sejak itu, ada yang menggelarnya sebagai ratu lagu runut bunyi (OST). Ini gara-gara lagunya banyak digunakan sebagai OST drama dan dari situ juga peminat tertarik mengenali lagi dirinya.

Marsha melihat hal itu dari sudut positif dan sebenarnya membuka mata ramai mengenai karya taruhannya. Namun, dia sentiasa berharap akan terus dikenali dengan lagu hebatnya.

"Ratu OST? Saya tak kisah kerana gelaran itu pada saya adalah maklum balas positif dan patut dihargai. Lagipun ia bukan penanda aras buat saya untuk digelar sebagai ratu apa.

"Saya lebih senang orang menilai karya saya," katanya pada majlis pelancaran muzik video Hening Rindu serta Dulu Kini dan Akhirnya, baru-baru ini.

Melancarkan dua lagu iaitu Dulu Kini dan Akhirnya serta Hening Rindu dalam tempoh yang rapat, Marsha berkata, dia tidak mempunyai pilihan kerana kedua-dua karya itu menjadi runut bunyi untuk dua drama berbeza.

Bagaimanapun, dia dan pengurusan serta komposer lagu itu mencari jalan sebaiknya untuk memastikan kedua-dua lagu berkenaan tampak berkait.

BARU melancarkan lagu baharunya berjudul Hening Rindu.
BARU melancarkan lagu baharunya berjudul Hening Rindu.

"Jadi, kami buat keputusan untuk buat dua episod muzik video, nampak seolah-olah ia drama bersiri. Walaupun ada kebimbangan, saya percaya bila lagu itu menjadi runut bunyi, ia akan membantu promosi.

"Alhamdulillah saya dapat maklum balas positif dan ada juga yang sudah berharap kedua-dua lagu berkenaan ke pentas AJL," katanya.

Bakal mengukuhkan lagi profil nyanyiannya, Marsha juga teruja menantikan karya dari komposer luar. Menurutnya, perancangan itu masih di peringkat awal dan enggan berkongsi lanjut.

"Saya menunggu peluang untuk dapat tiga lagu daripada komposer Indonesia dan Korea Selatan. Tapi, bila sampai masa nanti, saya akan kongsikan dan semoga segala dipermudahkan," katanya.

Sementara itu, Marsha cukup berbesar hati apabila mendapat peluang beraksi di Shanghai, China bagi memenuhi undangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempromosikan Malaysia di negara itu.

Katanya, bersesuaian dengan Pesta Menuai pada 30 Mei, dia mempersembahkan lagu Sumandak Sabah, sekali gus memperkenalkan budaya etnik Sabah.

"Sebenarnya saya dirisik pihak kementerian untuk bersama-sama ke Shanghai bagi mempromosikan budaya Malaysia.

"Saya diberi peluang membuat persembahan memandangkan bulan ini adalah Pesta Menuai di Sabah. Ini juga kunjungan pertama kali saya ke China," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 6:40 AM