REAKSI kecewa barisan pemain Fiorentina selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
REAKSI kecewa barisan pemain Fiorentina selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
Reuters

Athens: Jurulatih Fiorentina, Vincenzo Italiano berkata, kekalahan pada final Liga Konferens Europa menentang Olympiakos lebih menyakitkan berbanding tewas pada tahun lalu dalam kejohanan sama.

Olympiakos meraih kemenangan 1-0 ke atas Fiorentina selepas masa tambahan awal pagi tadi hasil jaringan Ayoub El Kaabi pada minit ke-116.

Keputusan itu menyaksikan kali kedua berturut-turut Fiorentina tewas pada aksi final Liga Konferens Europa selepas kekalahan 1-2 kepada West Ham United tahun lalu.

"Kami benar-benar mempunyai keyakinan tinggi kali ini. Ia menyakitkan," kata Italiano kepada Sky Sports Italia.

"Ia mengecewakan kami buat kali kedua. Ia mengecewakan kerana kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dan pemain melakukan segala yang mereka mampu.

"Amat menyakitkan apabila melihat pemain saya menangis. Kami benar-benar percaya kali ini nasib kami akan berbeza," katanya lagi.

Fiorentina sentiasa menerima nasib malang di pentas final apabila mengalami tiga kekalahan dalam tempoh dua tahun, termasuk kekalahan di final Piala Itali musim lalu kepada Inter Milan.

"Kekalahan amat menyakitkan. Sepanjang dua tahun anda beraksi dengan baik dan kebiasaannya mampu memenangi trofi tetapi kami tidak berjaya," kata Italiano.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 8:06 AM