SESI dikenakan kepada cahaya matahari pada waktu pagi.
SESI dikenakan kepada cahaya matahari pada waktu pagi.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


KELIHATAN comel dan berjalan lambat adalah dua perkara sinonim dengan kura-kura yang sering menjadi pilihan sebagai haiwan kesayangan. Malah kura-kura juga dikatakan mempunyai jangka hayat yang panjang.

Antara yang popular ialah kura-kura dari Afrika yang dikenali sebagai sulcata atau nama saintifiknya Geochelone sulcata.

Dalam sebuah portal haiwan kesayangan antarabangsa, The Spruce Pet memaklumkan bahawa kura-kura sulcata mampu hidup sehingga 70 tahun.

Tidak sekadar itu, haiwan kesayangan itu juga antara kura-kura terbesar di dunia yang mempunyai saiz sehingga 0.8 meter (30 inci) dengan berat lebih 68 kilogram!

Malah, ia juga tidak seperti kura-kura yang biasa dilihat di Malaysia yang hidup secara dua alam kerana hanya memerlukan tempat yang kering.

Menurut portal itu, meskipun sulcata dilihat sebagai kura-kura yang lasak tetapi tidak semua pemilik mampu menjaganya dengan baik kerana haiwan kesayangan itu memerlukan penjagaan yang rapi.

Antaranya, kura-kura sulcata mesti berada dalam persekitaran panas antara 32 hingga 37 darjah Celcius. Pemilik juga perlu memastikan ia berada di dalam kelembapan yang sesuai iaitu antara 40 hingga 55 peratus. Jika tidak sulcata boleh mengalami jangkitan kulat.

Selain itu, kura-kura sulcata juga memerlukan pencahayaan yang baik jika dipelihara di dalam bangunan. Justeru, pemilik wajib mempunyai lampu ultraungu jenis b atau a (UVB/UVA).

HADRI bersama kura-kura sulcata miliknya.
HADRI bersama kura-kura sulcata miliknya.

Pencahayan itu penting bagi memastikan sulcata mampu mempunyai tulang dan cengkerang yang kuat, sihat dan mengelakkan daripada jangkitan. Maka, kedudukan UVB atau UVA perlu dekat dengannya.

Bagi Mohd Hadri AG Idris yang memiliki dua ekor sulcata sejak akhir Januari lalu, mengakui pada awalnya memelihara haiwan eksotik itu agak sukar dan memerlukan kos yang tinggi.

Namun, kini dia merasakan kedua-dua kura-kura sulcata yang disapa Sayang itu, mempunyai keunikan tersendiri.

Mohd Hadri berkata, dia membeli kura-kura sulcata pertamanya dengan harga RM550 seekor dan dia perlu mendapatkan lesen memelihara daripada pihak berkuasa.

"Sulcata ini uniknya kita tidak dapat tahu jantinanya sehingga dia berusia lima tahun. Sulcata saya yang pertama dibeli pada januari 2021 lalu hanya berukuran saiz 0.02 meter dan kini saiznya mencecah 0.05 meter.

"Selepas tiga bulan saya membeli pula yang kedua dengan saiz 0.02 meter yang kini mencecah 0.04 meter. Kedua-duanya pada awalnya mempunyai cangkerang yang masih lembut kerana masih bayi. Kini kedua-dua sulcata kesayangan saya memiliki cangkerang yang kuat dan sihat hasil penjagaan yang betul begitu dititikberatkan," katanya

Mohd Hadri berkata, setiap hari antara jam 9 hingga 11 pagi dia perlu memandikan kedua-dua haiwan kesayangannya itu dalam tempoh sekitar 30 minit sahaja.

Selain itu, ketika mandi, sulcata tidak boleh direndam seperti kura-kura air yang lain kerana ia tidak boleh berenang dan air hanya boleh sehingga menutupi paras kaki sahaja.

"Pada waktu itu penting untuk memastikan sulcata mampu mendapat cahaya matahari pagi yang baik dan dalam masa yang sama ia adalah waktu kedua-duanya membuang najis.

SANGKAR sulcata yang lengkap dengan keperluan haiwan berkenaan.
SANGKAR sulcata yang lengkap dengan keperluan haiwan berkenaan.

COCO Hust dijadikan alas di dalam sangkar sulcata.
COCO Hust dijadikan alas di dalam sangkar sulcata.

"Ketika kecil ini, saya perlu pastikan kedua-duanya membuang najis dengan betul kerana ia boleh mengakibatkan batu karang," katanya.

Jelasnya, sebelum memiliki kura-kura sulcata, pembacaan mengenai haiwan itu amat penting bagi memastikan dia dapat menjaga Sayang dengan baik.

"Saya menyertai kumpulan pemilik sulcata di media sosial di Malaysia dan luar negara. Malah, saya kongsikan ilmu itu di YouTube supaya cara penjagaannya dapat dikongsi dengan pemilik sulcata yang lain.

"Kura-kura jenis ini sememangnya agak cerewet dari segi penjagaan tetapi haiwan ini unik terutama bentuk cengkerangnya dan amat manja dengan pemilik," katanya.

Mohd Hadri berkata, sulcata adalah haiwan jenis herbivor yang diberi makan seperti sawi bunga dan palet khas. Selain itu, bunga raya dan daun mulberry juga antara menu sampingan yang diberikan.

"Selang sehari saya akan berikan makanan tambahan untuk menambah kalsiumnya. Sulcata juga bukan haiwan yang minum air dengan banyak. Oleh itu, ketika mandi ialah waktu minumnya.

"Dari segi tempat tinggalnya pula, sangkarnya perlu dalam keadaan kering dan sabut kelapa kering yang dijual di kedai haiwan perliharaan menjadi alasnya. Selain itu, perlu ada ruang yang gelap atau gua mini untuk kedua-duanya berehat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 7:00 AM