KANAK-kanak turut mencari remis. - FOTO Faiz Anuar
KANAK-kanak turut mencari remis. - FOTO Faiz Anuar
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Ramai suka pergi ke pantai untuk mendengar bunyi ombak, hembusan angin dan memijak pasir laut bagi mendapatkan ketenangan fikiran.

Namun, ketenangan itu boleh diperoleh dengan cara berbeza menerusi aktiviti mencari remis.

Cara bersantai itu bukan sahaja 'murah', tetapi menyeronokkan yang sering dilakukan penduduk dan pengunjung di Pantai Bumi Hijau, Sabak Bernam, Selangor.

Penduduk, Yuni Ernita Md Yusuff, 32, berkata, dia sudah 'bergelumang' dengan aktiviti mencari hidupan bercengkerang itu sejak berusia 10 tahun selepas diperkenalkan bapanya.

Menurutnya, sejak itu dia 'ketagih' dengan aktiviti berkenaan dan pergi ke pantai untuk mencari remis dua kali seminggu.

"Jarak rumah yang dekat dengan pantai ini iaitu kira-kira lima minit perjalanan memudahkan datang bila-bila masa ke Pantai Bumi Hijau.

"Apabila bosan atau teringin makan remis, saya datang ke pantai ini bersama anak-anak," katanya.

Ibu tiga cahaya mata itu berkata, dia gemar mencari remis ketika air pantai pasang dengan menggunakan mangkuk untuk mengorek pasir di tepi pantai.

"Pasir yang dikorek ini, kemudian diayak menggunakan penapis bersama air pantai untuk membersihkan remis.

"Uniknya remis di sini mempunyai pelbagai corak menarik pada cengkerangnya, tetapi warna isinya tetap sama iaitu putih," katanya.

MENCARI remis di Pantai Bumi Hijau. - FOTO Faiz Anuar
MENCARI remis di Pantai Bumi Hijau. - FOTO Faiz Anuar

REMIS selepas dicuci. - FOTO Faiz Anuar
REMIS selepas dicuci. - FOTO Faiz Anuar

GEMBIRA mendapat remis. - FOTO Faiz Anuar
GEMBIRA mendapat remis. - FOTO Faiz Anuar

Pengalamannya sebagai pencari remis sejak 20 tahun lalu pernah mendapat 50 kilogram (kg) remis yang dibantu bapanya.

"Pantai Bumi Hijau kini semakin dikenali dan dikunjungi ramai.

"Sepanjang musim cuti sekolah ini, ramai pengunjung luar dari Sabak Bernam datang mencari remis," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Muhamad Hairil Abd Ghani, 39, berkata, mencari remis adalah salah satu caranya untuk 'healing' dan menghilangkan tekanan.

"Sangat seronok apabila dapat membawa pulang banyak remis. Saya tidak pernah jemu mencari remis walaupun aktiviti ini sudah dilakukan sejak 29 tahun lalu.

"Saya boleh mendapat kira-kira 50kg remis dalam masa 15 minit mencari hidupan cengkerang ini.

"Mencari remis tidak sukar dan mereka yang pertama kali mencuba pasti boleh mendapatkannya," katanya.

Bapa lima cahaya mata itu berkata, ada banyak remis di pantai ini yang tertimbus di bawah pasir dan kewujudannya sepanjang masa.

"Remis yang diambil untuk kegunaan sendiri. Selalunya saya rebus dan mengambil isinya sebelum dibekukan.

"Remis enak dimasak kukus bersama daun kunyit dan serai, sambal dan goreng tepung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 7:01 AM