ANTARA herba digunakan dalam bunjut mandian herba.
ANTARA herba digunakan dalam bunjut mandian herba.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MANDIAN herba antara salah satu khazanah berharga peninggalan nenek moyang yang semakin dilupakan.

Sedangkan ia adalah amalan masyarakat Melayu sejak zaman dahulu secara turun-temurun terutama dalam kalangan ibu selepas bersalin untuk pemulihan kesihatan.

Bagi menghidupkan kembali amalan itu sekumpulan penyelidik daripada Unit Biodiversiti, Institut Biodiversiti Universiti Putra Malaysia (UPM) diketuai Dr Khairil Mahmud menghasilkan bunjut mandian herba tradisional.

Produk mandian berasaskan tanaman herba asli itu menggunakan beberapa jenis herba utama iaitu serai wangi, lemuni, kantan, daun limau purut dan beberapa herba terpilih lain yang diikat dalam kain putih.

Istimewanya produk itu ialah menggunakan daun herba yang segar dipetik terus dari ladang penanaman bagi mengekalkan keharuman dan khasiatnya.

Dr Khairil berkata, kajian produk mandian herba itu dijalankan kira-kira dua tahun dan berjaya dipatenkan tahun lalu.

Menurutnya, penghasilan produk itu lebih kepada kosmetik kerana manfaatnya mengharumkan dan menyegarkan badan, mencerahkan kulit, melicinkan kulit serta menaikkan seri wajah, mencegah rambut gugur juga merawat masalah keputihan wanita.

"Cara penggunaannya juga mudah iaitu bunjut herba direbus bersama dua liter air hingga mendidih.

"Kemudian dituang dalam baldi dengan campuran air sejuk. Guna air rebusan herba ini untuk bilasan terakhir yang memberikan haruman dan kesegaran badan," katanya.

Katanya, proses menghasilkan bunjut mandian herba itu dimulakan dengan kajian kebaikan tumbuhan herba berkenaan.

"Kemudian teruskan dengan temu bual bersama penduduk kampung mengenai penggunaan mandian herba yang dahulunya tiada penyelidikan.

"Maka kami melaksanakan penyelidikan ini supaya pengguna selamat menggunakan produk herba terbabit," katanya.

PROSES membungkus bunjut mandian herba.
PROSES membungkus bunjut mandian herba.

Jelasnya, tumbuhan herba terpilih dikeringkan menggunakan ketuhar selama tiga hingga empat hari pada suhu kira-kira 50 darjah Celcius.

"Kemudian menjalankan analisis kimia menerusi kaedah 'gas chromatography/mass spectrometry' (GCMS) untuk melihat kumpulan bahan terbaik yang terhasil daripada tumbuhan herba berkenaan.

"Seterusnya ialah uji kaji antimikrob, kulat, bakteria dan yis bagi membuktikan lagi produk itu sangat baik," katanya.

Dr Khairil berkata, cabaran dengan produk itu ialah daripada segi pemasaran kerana pihaknya tidak mempunyai kuasa menjualnya secara komersial.

"Oleh itu, perlu bekerjasama dengan pihak industri bagi tujuan berkenaan (dijual komersial) dan sumber tumbuhan herba.

"Kami ada tanam tumbuhan herba yang digunakan dalam bunjut mandian herba ini, tetapi memerlukan juga kerjasama industri untuk menghasilkan pengeluaran berskala besar," katanya.

Ditanya mengenai perancangan jangka panjang beliau berkata, produk berkenaan mempunyai potensi besar dan ia dapat dieksport ke beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura hingga Eropah.

"Kami mahu mempopularkan amalan mandian herba kerana tidak mustahil generasi akan datang tidak mengenali produk dan kepentingan mandian herba ini.

"Produk ini boleh dianggap sebagai jarang jumpa kerana tumbuhan herba itu sukar dijumpai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 7:01 AM