KURA-KURA gergasi spesis Sulcata yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika cuba diseludup ke negara ini.
KURA-KURA gergasi spesis Sulcata yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika cuba diseludup ke negara ini.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Cuba seludup kura-kura '100 tahun' dengan mengisytihar barangan diisi di dalam kotak sebagai perhiasan mudah pecah.

Itu taktik digunakan seorang lelaki tempatan yang cuba menyeludup tiga ekor kura-kura spesies Sulcata berasal dari Afrika Utara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tindakan itu berjaya dibongkar hasil operasi diketuai pegawai Perhilitan, Che Wan Zulkifli Che Wan Yusof bersama dua pegawai lain di kargo KLIA pada jam 4 petang Selasa lalu.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 50-an ditahan selepas disyaki cuba menyeludup masuk tiga kura-kura yang disembunyikan di dalam tiga kotak berasingan.

"Susulan itu suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis KLIA untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

"Kesemua barang kes disita dibawa ke Pejabat Perhilitan KLIA untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berdasarkan maklumat kura-kura Sulcata adalah kura-kura ketiga terbesar di dunia. Haiwan ini berasal dari pinggir gurun di Afrika dan mampu hidup sehingga 100 tahun.

Haiwan ini kerap diseludup berikutan digemari sebagai haiwan peliharaan selain mampu mencapai berat maksimum melebihi 100 kilogram bagi kura-kura jantan.

Haiwan ini boleh dijual sehingga harga US Dollar 1,500 (RM7,188) mengikut saiz dan usia.

Sebelum ini Perhilitan turut berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan kura-kura spesies Indian star tortoise yang mampu dijual mencecah AS$1,500 ( seekor di pasaran gelap.

Seorang lelaki tempatan ditahan selepas menyeludup kura-kura itu bernilai hampir RM2 juta sebaik tiba di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal KLIA.

Pemeriksaan pada beg pertama milik suspek menemui 152 ekor kura-kura spesies Indian star tortoise yang masih hidup dan diisi di dalam kotak.

Turut ditemui 170 ekor kura-kura disyaki spesies Indian roofed turtle selain tiga ekor disyaki spesies Indian eyed turtle. Semua kura-kura itu dianggarkan bernilai hampir RM2 juta berdasarkan harga pasaran gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 7:05 AM