BLACK Pond Turtle yang menerima permintaan tinggi di pasaran gelap.
BLACK Pond Turtle yang menerima permintaan tinggi di pasaran gelap.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Bank data polis antarabangsa Interpol berjaya membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memburu ‘penyangak’ hidupan liar terkemuka.

Rata-rata penjenayah dalam senarai merah ini menjadikan pelbagai hidupan liar dilindungi termasuk kura-kura ‘tempurung emas’ sebagai sasaran aktiviti penyeludupan.

Penjenayah rentas sempadan ini dikesan memilih haiwan liar termasuk kura-kura diseludup dari India, Pakistan dan Bangladesh sebagai sasaran utama kegiatan yang mampu memberi pulangan hingga puluhan juta dollar setahun.

Difahamkan kura-kura terancam spesies Black Pond Turtle berasal dari tiga negara itu mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan pembeli pasaran gelap di China, selain tenggiling.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kegiatan sindiket menjadikan negara ini sebagai transit haiwan liar diseludup.

Menurutnya, usaha membanteras penjenayah hidupan liar antarabangsa ini dilakukan Perhilitan dengan kerjasama polis antarabangsa Interpol.

“Dengan bantuan Interpol, kami memberkas seorang penjenayah antarabangsa dikehendaki yang sebelum ini aktif menyeludup pelbagai hidupan liar dilindungi.

“Lelaki terbabit yang diletakkan dalam red notice (senarai merah) Interpol ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini,” katanya ketika ditemui wartawan Harian metro.

Beliau berkata, maklumat mendapati lelaki berusia 40-an itu aktif dalam aktiviti penyeludupan gading gajah dan kura-kura terutama dari Bangladesh, Pakistan dan India.

“Dia mungkin masuk ke negara ini untuk menyelaras lokasi dan transit hidupan liar termasuk kura-kura yang mahu diseludup ke China.

“Biasanya hidupan liar ini dibawa masuk ke Malaysia sebelum melepasi sempadan Thailand. Ia dihantar ke Vietnam, China, Hong Kong bagi memenuhi pasaran gelap di sana,” katanya.

Kadir berkata, sindiket penyeludupan antarabangsa ini dikesan menjadikan kura-kura seludup sebagai komoditi ‘saham gelap’ yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Difahamkan kura-kura terancam spesies Black Pond Turtle ini hanya akan dijual apabila permintaan meningkat mendadak di pasaran gelap China.

“Biasanya aktiviti penyeludupan meningkat pada hujung tahun berikutan permintaan meningkat terhadap hidangan eksotik susulan musim sejuk di China,” katanya.

Beliau berkata, kura-kura diseludup ini tidak hanya menggunakan kontena, malah penjenayah turut menggunakan beg bagasi diubah suai bagi mengisi kura-kura diseludup.

“Ada kura-kura diseludup dibalut dengan pita pelekat termasuk haiwan itu dipakaikan lampin pakai buang bagi memastikan air kencing reptilia itu tidak meleleh keluar.

“Beberapa rampasan sebelum ini berjaya dibongkar ketika suspek mahu memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 dengan menaiki penerbangan dari Dhaka dan Madagascar.

Beliau berkata, kura-kura jenis Black Pond Turtle haiwan dilindungi sepenuhnya kerana dikategorikan dalam jadual pertama Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES).

Mengikut Seksyen 10 atau 11 Akta Perdagangan Antarabangsa 2008, seseorang individu boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM1 juta atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah kerana memiliki spesies terjadual.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 10:13 AM