MOHD Redzuan bersama kura-kura kesayangannya.
MOHD Redzuan bersama kura-kura kesayangannya.
Muhamaad Razis Ismail

"Saya suka pelihara haiwan yang bersaiz besar seperti kura-kura Sulcata tortoise (darat) sejak beberapa tahun lalu," kata Mohd Redzuan Abdullah, 39.

Bermula dengan dua ekor yang dibeli di sebuah kedai haiwan peliharaan, kini bapa kepada tiga cahaya mata ini sudah memiliki sembilan Sulcata tortoise.

Menariknya, dia sanggup menyewa sebuah rumah berhampiran kediamannya di Balik Pulau, Pulau Pinang untuk menempatkan haiwan peliharaan kesayangannya itu.

Selain Sulcata tortoise, dia turut memelihara haiwan lain termasuk burung dan ular sawa.

Mohd Redzuan berkata, dia memelihara Sulcata tortoise kerana tertarik dengan saiz haiwan itu yang agak besar.

Katanya, mengikut rekod reptilia yang berasal dari Afrika itu mampu mencecah berat sehingga 100 kilogram.

"Kini, kura-kura peliharaan saya mempunyai berat antara 20 kilogram hingga 35 kilogram yang berusia belasan tahun. Jadi tidak hairanlah haiwan ini menduduki kedudukan ketiga terbesar dalam kalangan kura-kura darat.

"Memiliki saiz badan dan cengkerang yang besar membuatkan haiwan ini sangat unik selain sesuai untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan," katanya.

SERING meluangkan masa dengan kura-kura di luar rumah.
SERING meluangkan masa dengan kura-kura di luar rumah.

Jelasnya, untuk memelihara Sulcata tortoise, pemiliknya perlu mendapatkan lesen menyimpan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

"Pemilik perlu membeli haiwan ini di kedai atau premis yang berdaftar di bawah PERHILITAN. Resit yang diperoleh perlu dibawa untuk memohon lesen di PERHILITAN.

Menurutnya, biarpun bersaiz agak besar, penjagaan haiwan ini juga sangat mudah dan tidak membabitkan kos yang tinggi.

"Kura-kura ini makan sayur dan buah. Setiap hari saya peruntukan RM20 untuk membeli kangkung untuk diberikan kepada haiwan ini pada setiap pagi.

"Malah kura-kura ini boleh dikategorikan sebagai haiwan yang kuat makan kerana akan makan tanpa henti setiap kali diberikan makanan," katanya

CENGKERANG kura-kura yang kotor dibersihkan.
CENGKERANG kura-kura yang kotor dibersihkan.

Selain itu, rutin hariannya adalah memastikan kandang haiwan ini sentiasa dalam keadaan bersih dan kering.

"Biarpun haiwan ini sukar terkena jangkitan penyakit, setiap dua atau tiga hari sekali, saya akan bersihkan kandangnya sebagai langkah pencegahan," katanya

Tambahnya, kelemahan haiwan ini adalah keadaan basah dan lembap yang menyebabkannya mudah terkena penyakit.

"Apabila musim tengkujuh, saya akan menggunakan lampu UVA dan UVB untuk mendapatkan suhu yang bersesuaian dengan habitat asal haiwan ini.

"Selain itu, saya turut menjemur kura-kura ini di bawah cahaya matahari pagi untuk membantu proses tumbesaran yang sihat dan baik selain memberinya peluang untuk 'bersenam,"katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat ingin membuka sebuah kafe eksotik supaya orang ramai dapat melihat dengan lebih dekat haiwan peliharaannya.

KANGKUNG diberikan pada setiap hari'.
KANGKUNG diberikan pada setiap hari'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 7:00 AM