AYOUB El Kaabi mencium trofi meraikan kejayaan Olympiakos. FOTO REUTERS
AYOUB El Kaabi mencium trofi meraikan kejayaan Olympiakos. FOTO REUTERS
AFP

Athens: Olympiakos menjadi kelab Greece pertama yang memenangi kejuaraan Eropah selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Fiorentina pada perlawanan akhir Liga Konferens Europa, awal pagi tadi.

Penyerang Maghribi, Ayoub El Kaabi menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan minit ke-116 yang membolehkan skuad kendalian Jose Luis Mendilibar mencipta sejarah di venue AEK Athens.

Sebelum kejayaan Olympiakos, Panathinaikos adalah satu-satunya kelab dari Greece berjaya mara ke final Eropah sebelum tewas kepada Ajax yang diperkuatkan oleh Johan Cruyff dalam perebutan Piala Eropah 1971.

"Saya sangat gembira. Pasukan itu telah mencipta sejarah. (Jose Luis) Mendilibar menjadikan kami pasukan yang kuat. Dia beritahu kami perlu bermain seperti sebuah keluarga," kata pemain tengah, Santiago Hezze.

Mendilibar, 63, menjadi pengurus ketiga kelab Greece itu musim ini apabila dia mula menggalas tugas itu bermula Februari lalu dan dia kini menjulang trofi Eropah berturut-turut selepas memenangi Liga Europa bersama Sevilla tahun lalu.

Kedua-dua pasukan dilihat perlu mengharungi penentuan penalti namun pada minit ke-116 El Kaabi berjaya menanduk masuk hantaran lintang Hezze untuk gol peribadi ke-16 dalam saingan Eropah musim ini.

Penonton bersorak gembira meraikan gol tunggal itu selepas pemeriksaan VAR yang panjang sekali gus menunjukkan betapa besarnya kejayaan itu kepada kelab berkenaan.

"Menakjubkan. Untuk Olympiakos dan saya. Bangga melihat rakan sepasukan saya. Kami melakukan yang terbaik sepanjang tahun dan berhak mendapat kemenangan ini," kata penyerang, Stevan Jovetic kepada TNT Sports.

Bagi Fiorentina, ia adalah kekalahan kali kedua berturut-turut di pentas final Liga Konferens Europa selepas tewas 1-2 di tangan West Ham pada tahun lalu hasil gol kemenangan Jarrod Bowen minit ke-90.

"Saya perlu memuji Fiorentina, dua tahun berturut-turut. Kasihan kepada mereka," tambah Jovetic, yang bermain untuk pasukan Tuscan itu dari 2008 sehingga 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 7:42 AM