Anggota Bomba berjaya menangkap ular punti di sebuah rumah penduduk di Kampung Sungai Pau. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota Bomba berjaya menangkap ular punti di sebuah rumah penduduk di Kampung Sungai Pau. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Cuaca panas yang melanda daerah ini sejak Januari lalu menyebabkan kes tangkapan haiwan berbisa seperti ular kini mencecah 50 kes.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, cuaca itu juga menjadi faktor reptilia itu 'menumpang' di rumah kediaman penduduk serta reban atau kandang haiwan peliharaan.

Beliau berkata, tempat sejuk seperti bilik air dan timbunan sampah juga antara tempat paling digemari reptilia itu untuk berehat.

"Dalam kes terbaru semalam, anggota kami berjaya menangkap seekor ular punti sepanjang dua meter ketika ia 'berehat' di celahan kotak di belakang sebuah rumah penduduk di Kampung Sungai Pau di sini.

"Panggilan khidmat khas menangkap ular itu diterima pada 1.06 tengah hari dan ular itu berjaya ditangkap kira-kira lima minit kemudian menggunakan penjerut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkhairi berkata, walaupun ular itu mempunyai bisa tetapi ia bukan kumpulan 'pembunuh senyap' seperti tedung, katang tebu, kapak bodoh, namun ia tetap berbahaya kepada imun badan yang boleh mengakibatkan tempat gigitan ular itu membengkak dan kejang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat setempat supaya menjaga kebersihan di kawasan persekitaran rumah kerana kawasan lembab dan sejuk menjadi kesukaan ular.

"Penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran semak dan hutan juga perlu sentiasa memantau kawasan sekitar rumah kerana bimbang didatangi reptilia ini.

"Segera hubungi pasukan penyelamat untuk membantu menangkap ular jika memasuki rumah kediaman kerana bimbang spesies ular berkenaan berbisa dan boleh mengancam nyawa, sekiranya ia terasa diancam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 8:53 AM