HUTAN Taman Negeri Gunung Stong. - FOTO Google
HUTAN Taman Negeri Gunung Stong. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Hutan hujan tropika di Semenanjung kaya pelbagai tumbuhan dan hidupan liar.

Antaranya 2,500 spesies pokok, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 110 spesies ular, 80 spesies cicak dan ribuan serangga.

Keunikan khazanah flora dan fauna hutan hujan tropika itu memenuhi keperluan rekreasi serta ekopelancongan.

Ini kerana hutan berkenaan mempunyai 'kuasa' terapi yang boleh memberi ketenteraman fikiran dan keseronokan mendampingi alam semula jadi.

Santai minggu ini berkongsi empat Taman Eko-Rimba Semenanjung Malaysia.

1. Taman Negeri Bukit Panchor

Terletak dalam Hutan Simpan Bukit Panchor bersempadan dengan Kedah.

Ditubuhkan pada 2008 yang berkeluasan 446 hektar itu adalah lokasi pilihan kepada aktiviti perkhemahan. Ini kerana kawasan lapang dan berkhemah menarik di kawasan Sungai Buaya.

Taman negeri ini juga menawarkan aktiviti penjelajahan menjejaki gua dan alur sungai yang mencabar.

Ada lapan jenis spesies kelawar dijumpai ketika ekspedisi saintifik kepelbagaian biologi hutan di Gua Kelawar dan Gua Tongkat yang terdapat Taman Negeri Bukit Panchor.

Kawasan ini memberi suasana tenang dan santai bagi pencinta alam semula jadi yang cuba melarikan diri pada hujung minggu.

2. Hutan Taman Negeri Gunung Stong

Terletak di Hutan Simpan Gunung Stong Tengah yang terletak 84 kilometer dari Bandar Jeli, Kelantan.

Ada sebuah air terjun tertinggi di Asia iaitu Air Terjun Jelawang yang mempunyai tujuh tingkat.

Salah satu tarikan utama di taman negeri Gunung Stong ialah sebuah kompleks granit berbentuk kubah berusia lebih daripada 100 juta tahun.

TAMAN Negeri Perlis. - FOTO Google
TAMAN Negeri Perlis. - FOTO Google

TAMAN Negeri Bukit Panchor. - FOTO Google
TAMAN Negeri Bukit Panchor. - FOTO Google

TAMAN Negeri Endau Rompin. - FOTO Google
TAMAN Negeri Endau Rompin. - FOTO Google

3. Taman Negeri Perlis

Terletak dalam Hutan Simpan Wang Mu dan jaraknya tiga kilometer dari Pekan Wang Kelian.

Berkeluasan 4,379 hektar yang mempunyai keunikan pada flora dan fauna endemik iaitu pokok Bogak (Cycas clivicola) iaitu sejenis tumbuhan zaman purba serta Beruk Kentoi (Macaca arctoides).

Taman negeri itu mengunjur atas banjaran batu kapur yang terpanjang di Malaysia (38 kilometer) dikenali sebagai Banjaran Nakawan.

Sebahagian besar bukit batu kapur yang terdapat di sepanjang Banjaran Nakawan terdiri daripada formasi setul tertua di Malaysia dan dianggarkan berusia lebih 480 hingga 500 juta tahun.

4. Taman Negeri Endau Rompin

Terletak dalam Hutan Simpan Endau-Rompin yang jaraknya 160 kilometer dari bandar Kuantan, Pahang.

Kawasan ini seluas 50,000 hektar yang dianggar berumur sekitar 250 juta tahun.

Pelbagai jenis tumbuhan unik ada di kawasan itu seperti keruing, meranti, paku-pakis, periuk kera dan orkid hutan.

Di Taman Negara Endau-Rompin juga ada banyak hidupan liar seperti harimau, gajah dan babi hutan serta bilangan badak sumbu Sumatera yang terbesar di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 6:49 AM