NOR Lizawati Mahmood setia menemani anak bongsunya, Aryana Maryam Zaiful Bahrin (kiri); ARYANA  Maryam Zaiful Bahrin ketika sihat (kanan). FOTO Ihsan Nor Lizawati Mahmood
NOR Lizawati Mahmood setia menemani anak bongsunya, Aryana Maryam Zaiful Bahrin (kiri); ARYANA Maryam Zaiful Bahrin ketika sihat (kanan). FOTO Ihsan Nor Lizawati Mahmood
Oleh Redzuan Muharam


Kota Bharu: Ketika ibu lain menghabiskan cuti sekolah dengan membawa anak mereka berjalan atau berehat di rumah, Nor Lizawati Mahmood pula 'bercuti' di hospital bagi menemani puteri bongsunya, Aryana Maryam Zaiful Bahrin atau nama manjanya, Maryam.

Maryam, 3, bukan hanya dilahirkan sebagai anak sindrom Down, malah menderita barah darah jenis acute myeloid leukemia (AML) dengan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian ibarat rumah kedua buatnya.

Nor Lizawati, 43, yang juga guru Geografi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, di sini, berkata Maryam sebelum ini aktif berjalan, namun hilang keupayaan itu buat masa ini.

Menurutnya, anaknya itu hanya mampu duduk serta mengengsot untuk bergerak.

"Waktu mula dapat tahu Maryam menghidap barah pada September tahun lalu, semua (keluarga) terkejut sebab dia anak yang aktif walaupun mengalami sindrom Down.

"Setiap hari saya menangis mengenangkan nasibnya, namun selepas berbincang dengan suami (Zaiful Bahrin Mohamed Zain, 45), kami ikut nasihat doktor dengan benarkan Maryam menjalani kemoterapi pada November tahun lalu.

"Tapi selepas buat (kemoterapi) yang pertama, Maryam demam kemudian ada jangkitan pada hati, perutnya buncit, hati jadi besar dan limpa bernanah selain tak dapat berjalan, malah kini sudah tujuh bulan ditahan di wad," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nor Lizawati berkata, dia akan dikatakan menipu jika tidak sedih melihat keadaan Maryam yang perlu menanggung kesakitan pada usia kecil.

"Tapi tak buat (rawatan) seolah-olah saya dan suami menafikan hak Maryam untuk dapatkan rawatan.

"Berkat sokongan suami, keluarga dan rakan, saya sudah boleh terima kenyataan dan yakin Maryam boleh berjalan semula selepas tamat sesi rawatan yang berbaki dua sesi lagi," katanya.

Berhubung perkongsian di TikTok miliknya @aryanamaryamahza, Nor Lizawati berkata, dia enggan berkongsi keadaan Maryam di platform berkenaan pada awalnya.

"Tapi saya ambil keputusan kongsikan juga kerana sebelum sakit pun Maryam memang sudah ada akaun TikTok.

"Saya pun perlukan semangat dan bila baca komen, baru saya tahu ramai yang sayangkan Maryam. "Ada juga ibu bapa lain kongsi cerita dan rupanya ramai lagi lebih teruk keadaannya daripada Maryam.

"Daripada situ, saya jadi lebih semangat dapatkan rawatan terbaik buatnya," katanya.

Nor Lizawati berkata, sebagai ibu, dia masih menaruh harapan untuk melihat Maryam sembuh suatu hari nanti.

Bagaimanapun, katanya, dia bersedia dengan segala kemungkinan kerana yakin perancangan Allah SWT adalah yang terbaik.

"Saya percaya pada qadak dan qadar, kalau dah buat terbaik tapi Allah SWT kata umur setakat itu, kita nak buat maca mana?," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 8:42 AM