USTAZAH Zaimah Mohd Zain. FOTO Husain Jahit
USTAZAH Zaimah Mohd Zain. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Jemaah haji wanita yang sedang dalam haid ketika berada di Tanah Suci tidak perlu untuk merasa kecewa ataupun murung kerana tidak dapat melakukan ibadah seperti solat dan mengunjungi masjid sepanjang tempoh berkenaan.

Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci Tabung Haji (TH), Ustazah Zaimah Mohd Zain berkata, seseorang wanita yang faham bahawa haid itu adalah satu anugerah Ilahi, akan reda dengan perkara itu kerana perkara berkenaan tidak mencacatkan amalan ibadah mereka, sebaliknya mungkin akan diberikan lebih banyak pahala lain.

"Haid ini adalah anugerah kepada kaum hawa dan jika kita faham perkara itu, kita tidak harus rasa risau kerana ia tidak mencacatkan ibadah haji seseorang wanita mahupun menjadi halangan untuk mereka mendapatkan haji mabrur.

"Banyak ibadah lain yang masih boleh dilaksanakan kecuali berkaitan masjid, tawaf dan membaca al-Quran sahaja. Pengisian lain yang boleh dilakukan seperti berzikir, dan berdoa sepenuh hati sepanjang berada dalam keadaan itu.

"Apabila kita gunakan masa dengan berzikir dan menghayatinya, insya-Allah kualitinya lebih tinggi dan pahalanya mungkin boleh sama dengan mereka yang solat, tawaf dan sebagainya... jadi tak perlu rasa kecil hati, ada ganjaran di sebalik 'percutian' itu, kena terima dengan reda ," katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini, baru-baru ini.

Zaimah yang sudah berpengalaman menjadi Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci TH sejak 2007 berkata, walaupun dalam keadaan uzur syarie, rukun dan wajib haji yang lain seperti wukuf di Padang Arafah, mabit di Muzdhalifah dan Mina, serta tahalul masih boleh dilakukan.

Menurutnya isu tentang fiqh wanita sememangnya antara menjadi soalan yang kerap ditanya menerusi talian ibadah yang diperkenalkan oleh TH menerusi aplikasi THhujjaj selain mengenai larangan ihram.

"...daripada persoalan yang dikemukakan kita dapati ada wanita yang benar-benar tidak faham mengenai permasalahan haid, dengan kata lain ada perkara mereka perlu belajar sehingga betul-betul faham mengenai soal itu.

"Contohnya semasa dalam larangan ihram yang panjang disebabkan haid, apa yang berlaku kebanyakan daripada wanita keliru bila sebut losyen, mereka tidak berani untuk memakainya kerana risau melanggar larangan ihram kerana kurang jelas tentang perkara itu.

"Sebenarnya bahan kosmetik ataupun losyen berunsurkan minyak dilarang dikenakan di muka, namun tidak ada masalah sekiranya losyen berkenaan hendak disapu pada di bahagian peha atau kaki untuk mengelakkan kulit kering," katanya

.

Sehubungan itu, beliau menasihati jemaah haji wanita yang menghadapi masalah atau mempunyai kekeliruan mengenai permasalahan fiqh wanita supaya menghubungi Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci bagi mengelakkan kekeliruan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 7:55 AM