RAYA (dua kiri) menyampaikan duit raya kepada anak yatim.
RAYA (dua kiri) menyampaikan duit raya kepada anak yatim.
myMetro

Kota Kinabalu: Seramai 159 anak yatim dan kurang berkemampuan diraikan sempena Majlis Berbuka Puasa anjuran Media Prima Berhad (MPB) dan Yayasan 1Suria di Kampung Likas, dekat sini, kelmarin.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan isteri, Datin Seri Raya Erom yang juga Pengasas Yayasan Kebajikan Suria.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Kamal Khalid.

Pada majlis itu, Raya dan Kamal menyampaikan sumbangan Aidilfitri daripada Yayasan 1Suria dan MPB kepada yang diraikan.

Tiga masjid dan sebuah surau serta empat rumah anak yatim dan dua pusat tahfiz menerima sumbangan berkenaan.

Sementara itu, Raya berkata, tiga masjid dan satu surau yang menerima sumbangan adalah Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Masjid Jamek Kampung Likas, Masjid Nurul Hikmah serta Surau An- Nur Kampung Gading, Tanjung Balai, Medan, Sumatera, Indonesia.

“Penerima sumbangan lain, Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah Kinarut, Rumah Anak Yatim Kesayangan Sembulan, Tahfiz Kalansanan Inanam, Tahfiz Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Rumah Anak Yatim Darul Bakti Kota Belud serta Yayasan Kebajikan Suria,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya komited dalam menjaga kebajikan anak yatim di bawah Yayasan 1Suria dalam usaha menambah baik prasarana sedia ada termasuk bakal membina sekolah baru bagi Sekolah Menengah Yayasan 1Suria.

“Kami mempunyai fasiliti sekolah kepada anak yatim di bawah yayasan kami, namun ia setakat ini cuma terdapat sekolah rendah dan bagi pelajar menengah terpaksa mendapatkan pendidikan di luar daripada pusat berkenaan, ” katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya sangat bersyukur kerana yayasannya tidak pernah putus menerima bantuan dan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:14 AM