Mustapha memberi sumbangan berupa wang tunai kepada mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Kampung Likas, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Mustapha memberi sumbangan berupa wang tunai kepada mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Kampung Likas, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sumbangan wang tunai RM1,000 diberikan kepada 18 keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus terbakar dalam kejadian di Jalan Saga Likas, di sini, semalam.

Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud berkata, sumbangan ini diharap dapat digunakan sebaik mungkin terutama untuk membeli barangan keperluan anak-anak yang akan bersekolah.

"Pejabat Parlimen Sepanggar bersedia menghulurkan bantuan sekiranya ada keperluan lain untuk mangsa kebakaran ini," katanya ketika menyampaikan sumbangan di Dewan Serbaguna Kampung Likas, hari ini.

Ditanya berkenaan penempatan mangsa kebakaran selepas ini, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama beberapa pihak berkepentingan.

"Bantuan tambahan seterusnya akan difikirkan kemudian termasuk perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Kebajikan serta agensi berkaitan lain.

"Perbincangan juga akan melihat bagaimana untuk menempatkan mangsa kebakaran selepas ini ataupun merancang semula kawasan yang sesuai untuk mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan masyarakat di kawasan Sepanggar ini sentiasa peka dan berhati-hati mengendalikan peralatan elektrik semasa musim perayaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 5:47 PM