SALLEH (berbaju biru) dan Raya bersiap sedia untuk memulakan kayuhan.
SALLEH (berbaju biru) dan Raya bersiap sedia untuk memulakan kayuhan.
Erdiehazzuan Ab Wahid


Karnival Suria yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama Yayasan Kebajikan Suria (YKS) bertempat di Tempat Letak Kereta, Kompleks Sukan Likas baru-baru ini berjaya mengutip sumbangan RM118,210 daripada pelbagai pihak.

Program amal yang berlangsung selama tiga hari itu diadakan bagi mengumpul dana membina bangunan baru yayasan berkenaan yang bakal dilengkapi asrama pelajar, pusat tahfiz dan pusat aktiviti komuniti setempat di Tuaran.

Sumbangan yang diterima adalah hasil sumbangan syarikat dan individu perseorangan serta hasil jualan kupon kutipan dana YKS sepanjang karnival berlangsung.

Lebih 7,000 pengunjung bersama keluarga membanjiri pekarangan karnival untuk beriadah sambil beramal dan majlis perasmian penutupan disempurnakan Pengerusi Eksekutif YKS Datuk Raya Erom.

Pada majlis penutupan, pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis terdiri daripada Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah; Johan Bintang RTM, Rosario Ninih Chamini Bianis; Bintang Akademi Fantasia Musim Kelima, Ebi Kornelis; Vokalis Kumpulan Ways, Ann dan artis PENTARAMA Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Program turut dimeriahkan dengan acara lain seperti Kayuhan Karnival Suria, Pameran Kereta dan Motosikal, Konsert Titian Mesra RTM, Larian Kebajikan Kanak-kanak Suria, sukan rakyat, pameran dan jualan produk, aktiviti interaktif, Pertandingan Bintang 1Malaysia, zumba bersama Zin Cha-cha Garza dan persembahan hiburan oleh artis jemputan.

Hadir sama pada majlis penutup ialah Timbalan Ketua Pengarah JaPen Malaysia (Pengurusan), Datuk Almain Ajirul; Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai dan Pemangku Pengarah JaPen Sabah, Yunus Saprin.

Terdahulu, Raya yang juga isteri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan masyarakat setempat melalui penganjuran karnival itu.

“Yayasan sangat memerlukan dana untuk membina bangunan lebih besar bagi menampung penghuni dan pelajar yang semakin ramai.

“Pada asalnya, kami mahu memperbesarkan bangunan sedia ada namun disebabkan lokasi sangat kecil, pihak yayasan membuat keputusan untuk membina bangunan baru di tapak yang dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya, projek pembinaan bangunan baru itu sudah pun dimulakan di atas tanah miliknya sendiri dan menelan belanja RM1 juta.

“Bagaimanapun pihak yayasan memerlukan RM500,000 lagi untuk melengkapkan pembinaan yang membabitkan sebuah sekolah tahfiz, dua blok asrama, kuarters pekerja, dewan dan surau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 12:24 PM