WAN HANIZI di sisi anaknya Izzat Haziq yang perlu diberi perhatian sepenuh masa.
WAN HANIZI di sisi anaknya Izzat Haziq yang perlu diberi perhatian sepenuh masa.
Suzalina Halid

Seremban: Kasih seorang ibu tidak berbelah bahagi. Begitulah pengorbanan Wan Hanizi Wan Ahmad, 46, yang sanggup berhenti kerja dengan syarikat swasta di ibu negara semata-mata mahu menjaga anak lelakinya yang lumpuh selepas terbabit kemalangan jalan raya, tahun lalu.

Bekas pegawai syarikat pelaburan berbuat demikian semata-mata mahu menumpu perhatian sepenuhnya terhadap anak sulung daripada tiga beradik, Izzat Hazziq Baharuddin, 23.

Wan Hanizi berkata, Izzat Hazziq perlu diberi perhatian sepanjang masa akibat parah di kepala sekali gus memberi kesan kepada otaknya selepas terbabit kemalangan April tahun lalu.

Menurutnya, anaknya tidak boleh bergerak dan hanya terlantar atas katil selain sukar berkomunikasi kerana ingatan belum stabil.

“Kelakuannya seperti seorang bayi menyukarkan saya bergerak atau melakukan aktiviti lain apatah lagi keluar bekerja. Saya perlu menguatkan semangat dan sentiasa cekal kerana bukan mudah untuk berbuat demikian.

“Pada masa sama, saya mengorbankan masa tidur dan rehat demi memastikan keselamatan Izzat kerana dia tidak boleh bergerak. Saya sendiri menyuapkan makanan dan memandikannya kerana suami, Baharuddin Mohamed, 48, bekerja di Kuala Lumpur dan berulang-alik setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Melor, Senawang, di sini, semalam.

Menceritakan tragedi menimpa anaknya yang juga bekas pemain ragbi kebangsaan, Wan Hanizi berkata, kejadian berlaku ketika anaknya dalam perjalanan pulang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor ke rumah mereka di Senawang.

Menurutnya, ketika itu, Izzat menuntut dalam jurusan Diploma Sains Sukan dan motosikal ditungganginya bertembung dengan motosikal lain mengakibatkan dia parah dan koma 15 hari di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

“Dia mengalami masalah saraf pada otak dan memerlukan rawatan fisioterapi berterusan, malah doktor di HTJ masih memantau perkembangan kesihatannya.

“Ketika ini, saya hanya mampu berdoa dan menguatkan semangat supaya Izzat pulih bagi meneruskan pengajiannya kerana dia hanya sempat menamatkan lima daripada enam semester,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 3:54 AM