NOORUL Ariffin (kanan) bersama Izzat di Hospital Rehabilitasi Cheras.
NOORUL Ariffin (kanan) bersama Izzat di Hospital Rehabilitasi Cheras.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bapa kepada bekas pemain ragbi remaja kebangsaan, Baharuddin Mohamed menghargai bantuan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang meringankan beban anaknya, Izzat Hazziq bagi mendapatkan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Usaha Yakeb itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kos fisioterapi yang perlu ditanggung keluarga selain Baharuddin turut berharap proses pemulihan anaknya itu dapat berlangsung dengan lebih cepat.

"Saya sebagai bapa terharu dengan pertolongan dan bantuan diberikan kebanyakan pihak terutama Yakeb termasuk juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (Datuk Ahmad Shapawi Ismail), ISN (Institut Sukan Negara), UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan Datuk Mohd Alwi (Ahli Lembaga Pengarah dan juga Ketua Panel Penasihan Kesihatan Yakeb) yang turut sama membantu kami sekeluarga untuk membantu anak saya ini," katanya ketika ditemui di Hospital Rehabilitasi Cheras, hari ini.

Ujarnya, bantuan diberikan Yakeb sangat diperlukan terutama daripada segi rawatan anaknya kerana memerlukan rawatan fisioterapi secara berterusan.

"Kalau tiada Yakeb dan sebagainya membantu, saya rasa agak sukar sedikit kerana kos rawatan pun agak tinggi. Tanpa bantuan Yakeb, MSN dan sebagainya, saya rasa proses pemulihan itu mungkin mengambil masa lebih panjang. Dengan adanya bantuan seperti ini, saya rasa akan lebih cepat dan mudah, bukan saja untuk anak saya tetapi juga kesemua atlet (yang memerlukan bantuan)," katanya.

Pada 2016, Izzat yang juga anak sulung daripada tiga beradik terbabit kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari UiTM Shah Alam, Selangor ke rumah mereka di Senawang, Negeri Sembilan.

Kemalangan itu menyebabkan Izzat mengalami kecederaan parah di kepala sehingga menyukarkannya untuk berkomunikasi dan juga bergerak.

Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata semalam mereka membawa Izzat ke hospital dan akan buat penilaian.

"Berkemungkinan besar dia akan dimasukkan ke hospital dan melakukan rawatan susulan. Kami di Yakeb akan dapatkan satu proses yang cepat dan kita akan beri perhatian dan keyakinan lebih kepadanya supaya dia boleh pulih secepat mungkin. Mungkin bukan 100 peratus tetapi boleh menguruskan dirinya," kata Noorul Ariffin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 6:10 PM