PENYOKONG Negeri Sembilan beratur membeli tiket di STAR, semalam.
PENYOKONG Negeri Sembilan beratur membeli tiket di STAR, semalam.

Seremban: Ribuan peminat sanggup bermandi hujan semata-mata mahu mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Negeri Sembilan dengan Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, pagi semalam.

Peminat Negeri Sembilan Mohd Baharuddin Abdul Ghani, 45, yang berasal dari Rembau berkata, beliau sanggup menunggu di perkarangan stadium sejak jam 9 pagi bagi mendapatkan tiket untuk menyaksikan separuh akhir kedua sedangkan kaunter tiket hanya dibuka jam 10 pagi.

Baharuddin yang juga peniaga makanan itu berkata, walaupun kaunter jualan tiket akan dibuka hingga hari perlawanan, beliau tidak mahu menunggu hingga saat akhir kerana tidak mahu berputih mata andainya tiket habis terjual.

“Saya mahu membawa ahli keluarga menyaksikan perlawanan dan memberikan sokongan kepada Negeri Sembilan, Sabtu ini,” katanya.

Seorang lagi peminat, Mohd Khairul Anwar Lukman, 27, dari Senawang berkata, beliau gembira kerana berjaya mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA.

“Walaupun terpaksa beratur panjang dan menunggu lama, saya lega kerana sudah memiliki tiket bagi perlawanan penentuan itu nanti. Saya berharap Negeri Sembilan dapat memenangi perlawanan bagi meneruskan perjuangan ke final,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Negeri Sembilan Satwant Singh berkata, pihaknya tidak menyangka ramai penyokong tampil membeli tiket pada hari pertama kaunter dibuka pagi semalam.

Beliau berkata, sebanyak 6,000 tiket berjaya dijual sehingga jam 2 petang semalam.

“Kaunter tiket akan terus dibuka esok (hari ini) dari jam 3 petang hingga 7 malam manakala Jumaat hingga Sabtu pula akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 10:03 AM