Oleh Ahmad Saufi Mansor

Alor Setar: Keadaan bekas pelajar sebuah kolej perubatan yang melecur kira-kira 30 peratus pada muka, kedua-dua tangan, leher dan perut akibat disimbah cecair dipercayai asid ketika mahu meminta bayaran sewa rumah yang tertunggak, bertambah baik selepas dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), sejak kelmarin.

Difahamkan, Khairul Izzat Mohamed Zaki, 22, tidak mengalami trauma dengan kejadian itu, sebaliknya mengadu mengenai mukanya selain penglihatan kabur, sekali gus dibimbangi menjejaskan masa depannya yang mahu menyambung pengajian.

Ibunya, Salmah Salleh, 51, berkata, keadaan muka anak sulung daripada empat beradik itu membengkak dan gatal-gatal terutama pada bahagian mata selain penglihatannya kurang jelas berkemungkinan turut terkena simbahan cecair itu.

Menurutnya, anak lelakinya mula berbual-bual seperti biasa termasuk makan dan minum, namun doktor menasihatkannya supaya tidak banyak bergerak dengan berehat di katil saja.

“Cuma saya bimbang kerana doktor tidak memaklumkan mengenai tahap kesihatan anak saya termasuk rawatan yang akan dilakukan, selain ditempatkan di wad biasa hingga terpaksa bercampur dengan pesakit lain menyebabkannya berasa kurang selesa.

“Pihak hospital menyapu krim pada bahagian yang mengalami kecederaan untuk rawatan, tetapi saya bimbang ia boleh dijangkiti kuman kerana kedudukannya yang terdedah disebabkan bukan diletakkan di wad khas untuk pemantauan.

“Malah, saya mengambil peluang untuk menghiburkannya kerana tidak mahu dia memikirkan sangat kecederaan yang dialami, selain perlu berpantang dalam pemakanan untuk cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan doktor sudah melakukan pemeriksaan ke atas anaknya tetapi belum mendapat tahu mengenai keputusannya.

“Alhamdulillah, semangat Izzat amat tinggi melawan kesakitan dialaminya dan saya bersama ahli keluarga sentiasa memberi dorongan supaya dia cepat pulih, sekali gus mampu menamatkan pengajian Diploma Fisioterapi yang hanya tinggal satu semester,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, lima cedera termasuk tiga beradik dengan seorang daripada mereka parah akibat disimbah cecair dipercayai asid oleh penyewa rumah di Kampung Baru Bakar Kapur, Kuala Kedah, di sini, pada petang Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 5:00 AM