Mohd Aidil Abdullah


Kuching: Sarawak dalam proses mendapatkan semula koleksi 116 rangka manusia yang digali hampir enam dekad lalu di Gua Niah di Miri yang kini disimpan di Universiti Nevada di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Muzium Negeri Ipoi Datan berkata, pihaknya sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan universiti itu untuk mendapatkan semula rangka berkenaan bagi di bawa pulang ke negeri ini.

“Selepas kami menandatangani perjanjian itu minggu lalu, koleksi rangka manusia sudah dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam 33 kotak, ia terlebih dulu akan dihantar ke Universiti Florida melalui jalan darat di Nevada.

“Pembantu Kurator (Muzium Sarawak) Mohd Sherman Sauffi mengikuti penghantaran itu yang mengambil masa tiga hari ke Universiti Florida bagi memastikan ia selamat,” katanya kepada media di Muzium Sarawak di sini, semalam.

Ipoi berkata, koleksi itu akan disimpan di universiti berkenaan dan hanya akan dibawa kembali ke Sarawak pada 2019 kerana kawasan penyimpanan yang terhad di Muzium Sarawak.

“Kami memerlukan kemudahan simpanan khas untuk menyimpan koleksi rangka manusia itu. Kami perlu menunggu sehingga muzium baru siap,” katanya.

Rangka manusia itu ditemui ketika kerja cari gali di Niah antara 1947 hingga 1967 sebelum ia dibawa ke Nevada untuk kajian. Rangka itu dipercayai tinggalan manusia yang hidup antara 40,000 sehingga 1,000 sebelum Masihi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 12:02 PM