PINTU masuk ke Gua Niah. FOTO arkib NSTP
PINTU masuk ke Gua Niah. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


RANGKA ‘Orang Niah’ yang kini berada di Nevada, Amerika Syarikat (AS) dijangka dibawa pulang ke Sarawak tahun ini untuk dipamerkan kepada umum.

Lebih 100 rangka manusia yang ditemui dalam Gua Niah dan rangkaian gua di sekitarnya dibawa ke negara itu sejak berpuluh tahun lalu bagi tujuan kajian saintifik.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kajian berkenaan sudah selesai dan tiba masanya semua rangka terbabit dibawa ‘balik ke kampung halaman’.

“Usaha membawa balik rangka itu perlu kerana kita mahu menjadikan Gua Niah sebagai tapak warisan dunia.

“Kita akan mempamerkan rangka itu sebagai bukti Gua Niah sebagai penempatan terawal manusia di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Bermalam Di Muzium (A Night At The Museum) di Kuching, semalam.

Abdul Karim berkata, beliau dimaklumkan kesemua rangka itu dijaga dengan baik oleh pihak universiti yang menjalankan kajian itu dan kerajaan negeri sedang berusaha untuk mendapatkannya semula.

“Kita berharap semua rangka itu dapat dibawa balik pada penghujung tahun ini kerana saya dimaklumkan pihak yang menjalankan kajian itu bersetuju mengembalikannya.

“Rangka manusia terawal yang mendiami Gua Niah itu adalah warisan kita,” katanya sambil memaklumkan kos pengangkutan membawa balik rangka itu akan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri.

Sementara itu, Abdul Karim berkata usaha kini sedang dijalankan untuk mewartakan Taman Negara Gua Niah sebagai satu lagi tapak warisan dunia di negeri ini.

Beliau berkata proses dokumentasi untuk mendapat pengiktarafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun.

“Taman Negara Gua Niah sewajarnya diiktiraf sebagai tapak warisan dunia kerana menjadi penempatan terawal manusia di negeri ini penemuan rangka manusia dianggarkan berusia 50,000 tahun di kawasan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 1:21 PM