HIDAYAH pernah raih gangsa berpasukan wanita Kejohanan Poomsae Dunia 2022 di Goyang, Korea Selatan April lalu.
HIDAYAH pernah raih gangsa berpasukan wanita Kejohanan Poomsae Dunia 2022 di Goyang, Korea Selatan April lalu.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Rekod cemerlang dengan pernah menaiki podium di peringkat tertinggi memberikan sedikit tekanan kepada atlet taekowndo negara, Nurul Hidayah Abdul Karim pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2022.

Hal ini kerana, Hidayah, 24, turun dengan status sebagai pemenang pingat perak berpasangan campuran dan gangsa berpasukan wanita Kejohanan Poomsae Dunia 2022 di Goyang, Korea Selatan pada April lalu.

Situasi itu meletakkan atlet dari Bintulu, Sarawak terbabit menjadi antara nama tumpuan untuk menghadirkan kejayaan buat Malaysia pada edisi ke-20 ini.

Bagaimanapun, Hidayah tidak mahu ia menjadi penghalang untuk dia memberikan persembahan terbaiknya dalam saingan poomsae individu berlangsung di Hotel Konvensyen Nevada.

"Sedikit tertekan kerana ini kali pertama saya sertai AUG. Namun, saya ambil ini dari sudut positif dan semangat untuk saya berlatih lebih gigih untuk memberikan persembahan terbaik.

"Walaupun kami sentiasa berikan yang terbaik tetapi agak sukar untuk jangka hari pertandingan nanti. Negara-negara lain juga berlatih dan semua orang akan berjuang habis-habisan untuk dapatkan pingat," katanya.

Dalam masa sama, Hidayah berharap dapat menampilkan aksi terbaik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan retak tulang dialami gara-gara terjatuh ketika menjalani latihan awal bulan lepas.

Selain Hidayah, turut menjadi sandaran kem taekwondo negara untuk acara poomsae individu hari ini ialah Jason Loo yang memenangi pingat perak Sukan Sea Vietnam 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 2:28 PM