Anggota pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa yang terjatuh dari Kelong Sri Pantai.
Anggota pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa yang terjatuh dari Kelong Sri Pantai.
TEMPAT dipercayai mangsa terjun menyelamatkan bot.
TEMPAT dipercayai mangsa terjun menyelamatkan bot.
Togi Marzuki


Pontian: “Hari ini saya tak balik dan kalau betul tak balik terus awak jaga anak baik-baik,” seloroh seorang kaki pancing, Didi Nazril Jefree, 26, kepada isterinya beberapa jam sebelum dia hilang ketika memancing di Kelong Seri Pantai di perairan Pontian Besar di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi, Didi Nazril keluar bersama tiga rakan untuk memancing ikan di Kelong Seri Pantai dengan menaiki bot yang dipinjam dari kenalannya.

Difahamkan, ketika memancing, mereka terkejut apabila bot yang ditambat pada tiang kelong putus dan mangsa bersama rakan terjun ke laut bagi menyelamatkan bot itu daripada terus hanyut.

Bagaimanapun usaha mereka menyelamatkan bot itu gagal menyebabkan rakan mangsa naik semula ke kelong, manakala Didi Nazril tidak kelihatan dan dipercayai lemas.

Menurut Azura Hasanudin, 23, dia mendapat berita suaminya hilang beberapa jam selepas dihubungi rakan memberitahu bapa kepada tiga anak berusia sebulan hingga tiga tahun itu dipercayai lemas.

Azura berkata, sebelum meninggalkan rumah di Kampung Pontian Besar Kiri, di sini, suaminya memberitahu mahu keluar memancing bersama rakan.

“Sebelum turun ke laut, dia memberitahu dia tidak balik dan kalau tidak pulang terus, dia minta saya jaga anak-anak dengan baik dan berikan mereka persekolahan yang cukup.

“Saya tidak mempedulikan kata-katanya kerana dia meluahkannya sambil ketawa dan mencium anak-anak yang tidur nyenyak.

“Saya harap dia selamat dan pulang ke pangkuan keluarga kerana anak-anak sering bertanya ayah belum pulang mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Iqbal Raduan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang awam pada jam 7.37 pagi.

Katanya, enam anggota dibantu beberapa bot milik bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Angkatan Pertahanan Awam dan nelayan melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

“Usaha mencari diperluaskan hingga ke sekitar perairan Pontian, namun hingga jam 6.11 petang ini (semalam) mangsa belum dijumpai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:12 AM