Hafiz Ithnin


PEMANDANGAN pagi dan malam di kediaman ini begitu memukau. Dikelilingi sawah padi dengan siraman warna jingga matahari terbit rasa segar dan nyaman sekali membuatkan kediaman bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa di Sekincan, Kuala Selangor itu nyata unik.

Sebenarnya kami tujuh orang semuanya sudah merancang melakukan aktiviti memancing di sebuah kelong di tengah laut yang menjadi bualan kerana keselesaan memancing di situ.

Dari awal lagi, segala urusan tempahan dibuat dengan kadar bayaran RM180 seorang bagi caj bot dan makan tiga kali.

Meskipun pada sehari sebelum bertolak, kami dimaklumkan pihak kelong berkenaan untuk menangguhkan kunjungan ke sana kerana sudah beberapa hari tidak hujan menyebabkan air tawar untuk mandi dan memasak amat terhad.

Bagaimanapun, di saat akhir, pihak operator memberitahu mereka akan menyediakan air yang dibawa dari darat untuk kegunaan kami sepanjang 24 jam berada di sana.

Sebaik tiba pada jam 9 pagi di Jeti Bagan Nakhoda Omar kami disambut pemilik bot yang bersedia untuk membawa ke kelong berkenaan, Kelong Paradise. Perjalanan dari jeti ke sana memakan masa sekitar 20 minit.

Namun, perjalanan menggunakan bot itu tidak terasa. Apatah lagi, melihat burung camar laut yang setia terbang mengikuti arus dek pukulan laluan bot.

Setibanya di Kelong Paradise, kami mula mencari tempat terbaik untuk meletakkan barangan peribadi dan memancing.

Memandangkan kelong dua tingkat itu dibina untuk aktiviti memancing, ia mempunyai pelbagai kemudahan seperti ruang solat, tandas dan bilik untuk berehat.

PELBAGAI lokasi di sekitar kelong boleh digunakan untuk memancing.
PELBAGAI lokasi di sekitar kelong boleh digunakan untuk memancing.

Umpan isi ikan sardin, udang dan sotong menjadi pilihan kami untuk mengail kerana ia lebih sinonim untuk memikat ikan. Namun, air ketika itu agak keruh menyebabkan beberapa jam tali tangsi dilepaskan bersama mata kail, tapi tidak dapat menaikkan ikan bersaiz besar. Jika ada pun ikan gelama bersaiz kecil.

Penulis dimaklumkan pihak operator, jika air keruh ikan semilang menjadikan bawah kelong sebagai destinasi persinggahannya dan agak sukar untuk mendapatkan ikan jenis lain selain gelama yang nakal bermain umpan.

Ketika petang menghampiri senja, dengan menggunakan umpan sotong yang dipotong akhirnya penulis berjaya menaikkan anak ikan pari. Sebenarnya penulis adalah orang terakhir dapat menaikkan hasil tangkapan pada hari itu berbanding rakan lain yang lebih awal menaikkan gelama.

ANTARA hasil tangkapan yang berjaya dinaikkan.
ANTARA hasil tangkapan yang berjaya dinaikkan.

Pada sebelah malam pula, aktiviti mengail kami semakin rancak apabila satu persatu hasil laut berjaya dinaikkan. Lebih menarik pastinya ketika penulis menjinakkan ikan senaling yang begitu lasak melawan tarikan joran.

Selama 24 jam berada di kelong itu, ternyata memberikan pengalaman menarik kepada kami kerana ia boleh dikatakan selesa untuk dijadikan tempat percutian sekiranya mempunyai air bersih yang cukup untuk membersihkan diri.

Dalam masa sama, ketika mengail begitu selesa untuk kami rakan sekerja beriadah. Lebih menarik, di sana ada liputan talian telefon dan Internet!

PAKEJ memancing di kelong bersama tiga kali makan.
PAKEJ memancing di kelong bersama tiga kali makan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 6:30 AM