MANGSA lemas di sebuah kolam ikan. FOTO ihsan pembaca
MANGSA lemas di sebuah kolam ikan. FOTO ihsan pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


DUA sepupu yang mencari udang untuk dijadikan umpan memancing ditemui lemas di sebuah kolam ikan di Kampung Mujur, Seneng, Jelawat dekat Bachok, hari ini.

Mangsa, Mohamad Aiman Farhan Zunaidi, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah dan Nor Haslinda Mohamad Zawavi @ Zawawi, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seneng ditemui oleh ahli keluarga dan orang kampung pada jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, kedua-dua mangsa ke kolam pada jam 12.30 tengah hari bersama adik kepada mangsa lelaki untuk menangkap udang bagi dijadikan umpan memancing.

Katanya, adik mangsa berusia enam tahun pulang pada jam 1.50 tengah hari dan memberitahu ahli keluarga bahawa dua mangsa itu berada dalam air.

“Ahli keluarga bergegas ke kolam itu dan mencari kedua-dua mangsa namun gagal.

“Mereka kemudian meminta bantuan orang kampung untuk turut sama-sama mencari.

“Pencarian berakhir pada jam 2.30 petang apabila mereka ditemui lemas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Nik Aminuddin menasihatkan supaya ibu bapa sentiasa memantau anak-anak bagi mengelakkan mereka bermain di dalam air kerana boleh menyebabkan tragedi lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 9:45 PM