Rosli Ilham

Dungun: Seorang kanak-kanak perempuan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam ketika memancing bersama bapanya di sebuah kolam memancing di Bukit Besi, jam 5.15 petang semalam.

Pada kejadian itu, Nur Rania Faizah Mohd Rafi yang berusia dua tahun lima bulan disahkan meninggal dunia jam 8 malam, ketika dirawat di Hospital Dungun.

Mangsa dikatakan mengikuti kedua-dua ibu bapanya, Mohd Rafi Ibrahim, 39, dan Fatinhanani Ali, 31, pergi memancing di kolam terbabit, jam 5 petang.

Sebelum kejadian, bapa mangsa dikatakan sedang memancing sementara ibunya sedang menyusukan adik bongsu mangsa tidak jauh dari situ.

Ketika sedang bermain-main dengan abangnya, Muhammad Alim Solihim, 5, mangsa disedari hilang oleh bapanya.

Bapanya menghubungi penjaga kolam ikan terbabit untuk mencari anaknya itu sebelum menemukan mangsa lemas.

Bapa mangsa yang berasal dari Kampung Landas Ajil, Hulu Terengganu memberi bantuan pernafasan sebelum mengejarkan mangsa ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.

Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Dungun sebelum disahkan meninggal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun pemangku Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian terbabit.

"Ibu bapa diharap dapat mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

MOHD Rafi (kanan) menunjukkan gambar anaknya, Nur Rania Faizah yang lemas di dalam kolam memancing. FOTO Rosli Ilham
MOHD Rafi (kanan) menunjukkan gambar anaknya, Nur Rania Faizah yang lemas di dalam kolam memancing. FOTO Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 1:52 PM