Zaid Salim


Setiu: "Minggu lepas (Sabtu), kami datang mencari kepah di kawasan ini tetapi anak-anak tidak puas dan mengajak saya datang semula.

"Saya turuti kehendak anak-anak dan tidak sangka anak lemas," kata Che Mohd Humaizi Che Jemani.

Che Mohd Humaizi, 38, ialah bapa kepada Nurulhasha Humaira, 11, yang lemas bersama dua sepupunya ketika mencari kepah di muara berhampiran sungai Kampung Mangkuk, jam 5.30 petang semalam.

Mayat ketiga-tiganya ditemui awal pagi tadi tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

Kata Che Mohd Humaizi, ketika kejadian, dia sedang memancing sebelum dihubungi isteri, Nurulhuda Abdul Rahman, 38, yang memberitahu anak mereka lemas.

"Sebelum kejadian, saya berat hati untuk membenarkan anak dan anak saudara ke beting berkenaan kerana bahaya tanpa pengawasan orang dewasa, namun untuk memenuhi hajat mereka, isteri bersetuju untuk menemani mereka.

"Saya kemudian menghantar isteri, anak serta anak saudara seramai 12 orang ke beting berkenaan dengan menaiki bot sebelum saya beralih ke lokasi lain untuk memancing," katanya ditemui di perkarangan Hospital Setiu hari ini.

Che Humaizi berkata, pada kejadian itu, anak sulungnya, Nurulhasha Humaira dan dua anak saudara, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, dan Muhammad Aryan Faheem Saiful Tarmizi, 7, ditemui lemas.

Tiga bersaudara yang ditemui lemas.
Tiga bersaudara yang ditemui lemas.

Manakala seorang lagi anaknya, Che Ahmad Harraz Husaini, 9, dan dua anak saudaranya, Muhammad Hasif Muhaimin Muhamad Norizan, 12, dan adiknya, Muhammad Harish Aisy berusia, 10, berjaya diselamatkan penduduk kampung yang mencari kepah di kawasan berkenaan.

Katanya, biarpun sedih kehilangan anak dan dua anak saudara, namun dia reda dengan takdir itu.

"Anak saya dan Muhammad Hasif Muhaimin yang sebelum ini dimasukkan ke hospital sudah dibenarkan keluar hari ini, manakala Muhammad Harish Aisy dipindahkan ke Hospital Besut," katanya yang bekerja sebagai pembantu arkitek.

Katanya, menurut Muhammad Hasif, ketika mereka berada dalam air, mereka terjerlus sebelum terjatuh.

"Keadaan itu menyebabkan mereka panik sebelum tiga daripada mereka dihanyutkan arus," katanya.

Katanya, ketiga-tiga jenazah akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu sebaik selesai bedah siasat.

Berita berkaitan:

  • Tiga kanak-kanak dihanyut arus ketika cari kepah
  • Anak tenggelam depan mata
  • Tiga kanak-kanak ditemukan lemas [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 4:03 PM